Pilih Bahasa

TYT SABAH KE-10, TUN JUHAR MAHIRUDDIN LAFAZ SUMPAH UNTUK PENGGAL KETIGA

Oleh Chris Maskilone

Tun Juhar Mahiruddin melafaz sumpah sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sabah ke-10 di Istana Negeri hari ini. Gambar SNT/Ehsan JKM

KOTA KINABALU: Yang Di-Pertua Negeri Sabah ke-10, Tun Juhar Mahiruddin mengangkat sumpah untuk penggal ketiga di Istana Negeri di sini hari ini.

Istiadat Lafaz Sumpah dihadiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama menteri kabinet negeri dan tetamu jemputan lain.

Tun Juhar menandatangan Surat Cara Perlantikan sebagai TYT Sabah ke-10 dihadapan Ketua Hakim Borneo Datuk David Wong Dak Wah di Istana Negeri hari ini. Gambar SNT/Ehsan JKM

Tun Juhar menandatangani surat cara perlantikan dihadapan Ketua Hakim Borneo, Datuk Seri David Wong Dak Wah.

Pada 27 Disember tahun lalu, Tun Juhar menerima Surat Cara Pelantikan bagi penggal ketiga daripada Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Singgahsana Kecil, Istana Negara, Kuala Lumpur.

Tun Juhar merupakan TYT pertama dalam 31 tahun dilanjutkan perkhidmatan setelah tamat tempoh dua penggal atau lapan tahun.

Ini berikutan pindaan terhadap Perlembagaan Negeri Sabah yang menghapuskan Fasal 3 dalam Perkara 2, iaitu Fasal mengenai tempoh perkhidmatan seseorang TYT dihadkan kepada dua penggal sahaja.

Pindaan tersebut diluluskan dengan sokongan lebih dua pertiga Ahli Dewan Undangan Negeri  Sabah dalam satu Persidangan Khas pada 13 Disember, 2018.

Tun Juhar, 65, sebelum ini dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-10 pada 1 Januari 2011 menggantikan Tun Ahmadshah Abdullah dan seterusnya dilantik menjawat jawatan sama bagi penggal kedua pada 1 Januari 2015 yang tamat pada hari ini.-SabahNewsToday