Pilih Bahasa

Ubah cara hidup – Dr Yusof

SANDAKAN: Penduduk negeri ini  perlu mengubah cara hidup dengan pendekatan baharu demi kelangsungan kehidupan masa hadapan yang lebih selesa.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob dalam berkata cara lama yang kurang produktif perlu ditinggalkan untuk menerokai kaedah baharu yang lebih berkesan mengikut kesesuaian masa kini dan masa akan datang.

Dr Yusof menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kg Forest Sandakan pada majlis kesyukuran PRK Parlimen Sandakan. Gambar SNT/Ihsan KP&I

“Justeru itu rakyat dalam semua peringkat 
perlu mengikuti perkembangan semasa dan belajar memahami  perkembangan teknologi baharu yang menjadi keperluan dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis kesyukuran sempena kemenangan calon DAP Parlimen Sandakan pada PRK yang lalu di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Forest di sini pada Khamis.

Pada PRK yang lalu Parti Warisan Sabah Bahagian Sipitang dipertanggungjawabkan menjaga dan membantu kempen piliharaya kecil bagi kawasan PDM Forest.

Dr Yusof yang menerajui Warisan Sipitang berkampung di PDM Forest sepanjang tempoh kempen bersama ahli-ahli Jawatankuasanya bagi membantu calon  yang mewakili gabungan parti yang memerintah di negeri ini.

Dr Yusof yang juga Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah turut mengingatkan agar penduduk terus mempertahankan perpaduan dan keharmonian sedia ada agar pembangunan dapat diteruskan.

“Tanpa keharmonian proses pembangunan ajan terbantut. Justeru saya berharap setiap penduduk perlu menolak anasir-anasir yang mahu memecahbelahkan kita yang telah sekian lama hidup aman damai antara satu sama lain walaupun berlainan suku kaum dan pegangan agama,” katanya.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 300 penduduk itu Dr Yusof menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada warga emas dan penduduk yang kurang kemampuan.-SabahNewsToday