Pilih Bahasa

Ugut bunuh suami anak buah dengan bakakuk, lelaki tempatan ditahan

KENINGAU: Seorang lelaki tempatan, 43, ditahan kerana disyaki mengugut membunuh suami anak buahnya menggunakan senjata api buatan sendiri (bakakuk) di sebuah rumah di Kampung Narayat, Tambunan pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata kejadian berlaku apabila suspek menegur pengadu yang sedang memarahi isterinya.

Shahrudin menunjukkan gambar bakakuk yang dirampas. Gambar SNT/Ihsan IPD Keningau

Pengadu memarahi isterinya (anak buah suspek) kerana tidak menyambut kepulangannya dari Kota Kinabalu di rumah kerana berada di luar.

Menurut laporan polis, suspek menegur pengadu dan memintanya supaya bertolak ansur memandangkan isterinya itu sedang mengandung.

Pengadu mendakwa secara tiba-tiba suspek menyerangnya dan menumbuk mukanya beberapa kali sehingga terjatuh.

Suspek juga menolak anak buahnya yang cuba meleraikan mereka sebelum masuk ke dalam bilik dan membawa keluar selaras senapang yang dipercayai bakakuk.

Pengadu mendakwa suspek sambil menggenggam tiga butir peluru mengacukan senapang menghalanya dan isteri kemudian mengugut untuk membunuhnya.

Ketakutan, pengadu dan isteri kemudian keluar dari rumah dan terus ke balai polis membuat laporan.

Shahrudin berkata ketika itu pengadu bengkak di muka dan luka di kaki kiri.

Bertindak atas maklumat, polis dari cawangan Jabatan Siasatan Jenayah Keningau dan balai Tambunan pada hari yang sama telah pergi menangkap suspek pada jam 11.45 malam.

Suspek menafikan mengacukan senapang kepada pengadu, kata Sharudin sambil menambah polis tidak dapat mengesan senjata yang digunakan.

Namun pada keesokan harinya lebih kurang jam 1.30 petang, suspek membawa sepasukan polis ke sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Narayat, Patau, Tambunan.

Suspek menunjukkan senapang serta tiga butir peluru yang berada di belakang pintu rumah tersebut yang kemudiannya dirampas oleh polis.

Menurut Shahrudin, suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Keningau dan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 9 Akta Senjata Api 1960.

Seksyen 506 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, manakala Sekysen 9 Akta Senjata Api pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.-SabahNewsToday