Pilih Bahasa

Umbrella menyapa peminat di Sabah selepas lebih 20 tahun

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Kumpulan Umbrella menghiburkan peminat sempena persembahan Umbrella Journey To The East bertempat di My Office, Plaza 333 Kota Kinabalu. -Gambar SNT/Ihsan My Office Cafe

KOTA KINABALU: Selepas lebih 20 tahun tidak membuat persembahan di Sabah, kumpulan terkenal era 90an, Umbrella kembali menyapa peminatnya sempena Umbrella Journey To The East, di sini, hujung minggu lalu.

Bertempat di My Office Cafe, Plaza 333 Kobusak Commercial Centre, kumpulan yang popular menerusi genre lagu balada, pop dan pop rock berkenaan menghiburkan peminat dengan lebih 10 buah lagu.

Umbrella tetap terus kekal relevan di arena muzik tempatan walaupun semakin ramai kemunculan kumpulan penyanyi baharu. -Gambar SNT/Ihsan My Office Cafe

Ditemui sebelum membuat persembahan, Umbrella menerusi vokalisnya, Zarul menyatakan keterujaan kumpulan itu berpeluang menghiburkan peminat di negeri berkenaan setelah sekian lama.

Ditanya mengenai kemunculan Umbrella yang jarang mengadakan persembahan, Zarul menyatakan keakraban antara ahli kumpulan masih utuh seperti dahulu namun kekangan masa sering membataskan mereka untuk bertemu dan membuat persembahan.

“Kita masih tetap menerima tawaran nyanyian sekiranya berkelapangan pada tarikh serta masa yang dinyatakan kerana faham masing-masing sudah mempunyai keluarga serta pekerjaan tetap.

“Kali terakhir Umbrella bergabung dalam satu persembahan pentas sekitar tiga tahun lalu di Pulau Pinang malahan kedatangan kami di negeri ini juga sudah terlalu lama kira-kira pada tahun 1998 dan kita pastinya gembira mendapat peluang ini kerana dapat mengubati rindu peminat di negeri ini.

“Persembahan kali ini dilihat umpama kemunculan semula Umbrella di Sabah dan mungkin selepas ini ada konsert jelajah di seluruh negeri sekiranya ada penaja,” katanya yang kini turut aktif membuat persembahan solo serta bidang lakonan.

Sementara itu, bercakap tentang perancangan seni kumpulan Umbrella sepanjang tahun ini, Zarul berkata kumpulannya setakat ini masih belum memikirkan untuk mengeluarkan single atau album baharu berikutan pasaran muzik yang tidak menentu.

Menurutnya, baik dan buruk daripada pelbagai aspek harus lebih dititikberatkan kerana mahu mengelakkan kerugian kepada semua pihak yang terlibat dalam penghasilan sesebuah lagu mahupun album penuh.

“Pemilihan lagu yang sesuai dengan jiwa serta muzik Umbrella juga penting sebab kumpulan kita mempunyai identiti tersendiri.

“Rasanya agak kurang sesuai jika kita tangkap muat apa sahaja lagu diberikan komposer termasuklah lagu yg berentak terkini tetapi kita tidak menolak muncul dengan buah tangan baharu sekiranya dapat material bersesuaian untuk Umbrella,” katanya.

Sementara itu, muncul dipentas utama sekitar jam 10 malam, kelunakan vokalis Umbrella, Zarul yang membuka pentas persembahan menerusi lagu Mentera Semerah Padi nyanyian asal Datuk M Nasir bagai dinantikan peminat yang sudah lama merindui kemunculan semula kumpulan terbabit di negeri itu.

Suasana kian gamat tatkala Umbrella meneruskan nyanyian dengan lagu Cuci Tangan dan Kawan Makan Kawan yang banyak membantu menaikkan nama kumpulan berkenaan di arena muzik tanah air.

Peminat dan penggemar muzik tempatan Sabah kemudiannya terus dihiburkan melalui persembahan lagu Akulah Teduhanmu selain lagu Kemarin daripada Seventeen.

Penonton yang hadir ibarat larut dalam emosi ketika Zarul menyanyikan lagu asal kumpulan daripada Indonesia itu.

Bagaimanapun, adrenalin penonton yang hadir umpama melonjak tatkala salah satu single popular kumpulan itu berjudul Bukalah Hatimu dipersembahkan.

Kira-kira 100 pengunjung cafe turut sama menyanyi lagu berkenaan yang menjadi lagu ‘wajib nyanyi’ pada setiap pertunjukkan Umbrella.

Kumpulan lagenda terbabit menutup pentas persembahan Umbrella Journey To The East dengan lagu ‘killer song’, Ramalanku Benar Belaka.

Antara lagu lain turut dinyanyikan termasuklah Berapinya Rindu, Gerhana dan Dendangan Laguku. -SabahNews Today