Pilih Bahasa

Umbrella terus kekal relevan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Umbrella tetap terus kekal relevan di arena muzik tempatan walaupun semakin ramai kemunculan kumpulan penyanyi baharu. -Gambar SNT/Ihsan My Office

KOTA KINABALU: Walaupun revolusi muzik kian berubah selain semakin ramai kemunculan kumpulan penyanyi baharu namun kumpulan popular era 90an, Umbrella dilihat tetap terus kekal relevan di arena muzik tempatan.

Ditemui sempena persembahan Umbrella Journey To The East di Kota Kinabalu, baru-baru ini, kumpulan itu yang diwakili vokalisnya, Zarul menyatakan seluruh ahli kumpulan berkenaan bersyukur kerana masih dikenali meskipun ramai penggemar muzik masa kini terdiri daripada generasi muda.

Zarul berkata lagu-lagu Umbrella mempunyai peminatnya tersendiri dan tidak keterlaluan boleh dikatakan malar segar sehingga kini.

“Umbrella mahu kekal relevan namun dengan identiti tersendiri yang dipegang sejak diawal kemunculan.

“Kita tidak mahu hanya kerana mahu terus diingati, Umbrella menukar genre lagu termasuklah rentak lagu sekarang yang dilihat terlalu berbeza dengan jiwa.

“Saya sendiri secara peribadi memiliki single solo yang sudah dilancarkan namun setiap kali hadir membuat persembahan, pastinya lagu wajib yang diminta adalah lagu-lagu sewaktu saya menyanyi bersama kumpulan Umbrella.

Kumpulan Umbrella menghiburkan peminat sempena persembahan Umbrella Journey To The East bertempat di My Office Cafe, Kota Kinabalu. -Gambar SNT/Ihsan My Office Cafe

“Hal ini menunjukkan Umbrella itu sendiri masih terus diterima peminat muzik menerusi lagu-lagu lama sebelum ini,” katanya ketika ditemui ketika sidang media sebelum membuat persembahan.

Menurut Zarul, dia percaya pengalaman sama turut dilalui oleh semua penyanyi senior lain samaada penyanyi solo atau berkumpulan.

Dalam pada itu, menghiburkan lebih 100 penonton dalam showcase istimewa itu, kumpulan yang cukup terkenal menerusi lagu Bukalah Hatimu dan Ramalanku Benar Belaka berkenaan mempersembahkan kira-kira 10 buah lagu sepanjang persembahan hampir dua jam di My Office Cafe, Plaza 333 Kobusak Commercial Centre itu.

Antara lagu dipersembahkan termasuklah Cuci Tangan, Akulah Teduhanmu, Bukalah Hatimu, Berapinya Rindu dan Ramalanku Benar Belaka. -SabahNews Today