Pilih Bahasa

“UMMI, BESAR NANTI ABANG NAK BELIKAN UMMI KERETA”

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: “Ummi, besar nanti abang nak belikan ummi kereta supaya ummi boleh ambil abang di sekolah,” itu kata-kata allahyarham Muhammad Addrieyansya Abdullah, 8, kepada ibunya, sebelum meninggal dunia.

Mangsa, murid darjah 2 Sekolah Kebangsaan Muhibbah Raya, maut selepas dilanggar sebuah van jenis Nissan Urvan, di hadapan sekolahnya, di Sekolah Kebangsaan Muhibbah Raya, dekat sini, pukul 5.45 petang, semalam.

Ibu bapa Allahyarham Muhammad Addrieyansya Abdullah, menunjukkan gambar kenangan bersama allahyarham. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Ibunya, Norlizah Mohd Nasir, 28, ketika ditemui di rumah keluarganya di Tanjung Batu Darat tidak dapat menahan sedih selepas anak sulung daripada lima beradik itu pergi meninggalkan mereka sekelip mata.

Katanya, sebelum kejadian, anaknya bersiap lebih awal daripada biasa untuk ke sekolah dan penampilannya lebih kemas.

“Dia jenis tak suka lengah kerja, cuma dia tidak suka memberus gigi. Tetapi pada hari kejadian, dia nampak kemas, cepat pergi memberus gigi dan tidak cerewet seperti kebiasannya.

“Malah, arwah sempat cium semua adik-adiknya sebelum ke sekolah dan berpesan kepada adiknya supaya jangan berbuat nakal,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Bapa allahyarham, Adnan Abd Lawi, 30, berkata, impiannya untuk melihat anaknya menjadi tahfiz kini hanya tinggal kenangan dan tidak ada lagi si kecil riang yang sentiasa menunggunya pulang dari kerja untuk bersama-sama menunaikan solat Maghrib di surau berhampiran rumahnya.

Gambar kenangan Norlizah Mohd Nasir, bersama anak sulungnya, Allahyarham Muhammad Addrieyansya Abdullah. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Semalam, saya tunggu dia pulang sekolah. Ketika bas sekolahnya tiba, saya hairan sebab pemandu bas membawa beg sekolahnya sahaja dan memberitahu anak saya terbabit kemalangan,”katanya.

Adnan berkata arwah seorang yang tidak banyak karenah dan kurang berkomunikasi serta banyak menghabiskan masanya di rumah kerana hanya bergaul dengan anak jiran pada waktu cuti sekolah sahaja.

Dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat berkata, allahyarham turut menunjukkan sikap rajin bangun solat Subuh.

“Selalunya dia liat bangun solat Subuh tetapi pada hari itu (semalam), saya kejutkan sekali sahaja dan dia terus bangun.

“Anak saya juga sempat belikan saya sarapan sebelum ke sekolah,”katanya.

Jenazah allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Islamiyah, kira-kira pukul 11.30 pagi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang juga pemandu van jenis Nissan Urvan telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, ketika kejadian, pemandu sedang mengambil beberapa orang murid dengan menggunakan van persendirian tanpa permit bas sekolah.

Pemandu van berkenaan mengundurkan kenderaan dan kemudian bergerakkan kenderaannya ke hadapan semula sebelum terdengar bunyi perlanggaran.

“Pemandu kemudian keluar dari van yang dipandunya dan melihat mangsa terbaring di hadapan van terbabit. Pemandu menghantar mangsa ke Hospital Tawau.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius di bahagian kepala dan pemandu ditahan untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 41(1)(A)Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – SabahNewsToday