Pilih Bahasa

Umno jangan mimpi bentuk Kerajaan pintu belakang di Sabah – Warisan

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) hari ini menempelak Umno yang membayangkan kerajaan pintu belakang boleh dibentuk dengan mudah di Sabah.

Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Aziz Jamman berkata Warisan sedar ada usaha-usaha para pemimpin lawan untuk membuat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerajaan Sabah sekarang berpaling tadah.

Datuk Mohd Azis Jamman. Gambar Fail SNT

Beliau berkata demikian mengulas laporan kelmarin yang memetik Ketua Umno Sabah Datuk Bung Moktar Radin sebagai berkata bahawa “tiada banyak masalah dapat dilihat untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) … kerana politik Sabah dikenali dengan tradisi lompat parti.”

Mohd Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar turut membidas kenyataan Ketua Pemuda Umno Sabah, Abdul Aziz Julkarnain yang hanya bertujuan mengelirukan rakyat.

Kenyataan Abdul Aziz dalam akaun Facebooknya bahawa kononnya ramai Adun kerajaan tidak berpuas hati sehingga tidak hadir semasa sidang akhbar menyokong Ketua Menteri tempoh hari adalah sangat dangkal dan hanya cuba memainkan isu untuk mengelirukan rakyat, kata Mohd Azis.

“Cubaan yang baik untuk bermain isu, kami sebenarnya tahu mereka cuba memujuk Adun kami untuk buat seperti di Kedah serta Langkah Sheraton.

“Bagaimanapun kekuatan utama kami adalah keutuhan yang wujud dalam kalangan pemimpin, jangan terkejut kalau sebaliknya Adun mereka yang akan menyertai kita,” kata Mohd Azis.

Sementara itu Timbalan Ketua Wira Warisan, Mohd Ismail Ayob berkata Bung tidak perlu bermimpi kerana secara logiknya bukan mudah untuk lebih 17 Adun melompat parti sekaligus, apatah lagi wakil rakyat kerajaan kini mempunyai perjuangan yang jelas di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Ismail Ayob. Gambar Fail SNT

“Maruah dan integriti wakil rakyat Kerajaan Sabah bukanlah serendah seperti yang ditunjukkan oleh Bung,” katanya.

Tegas beliau, rekod Umno di Sabah sudah terlalu buruk menyebabkan negeri ini yang dulu dikenali sebagai deposit tetap Barisan Nasional (BN) tumbang pada 2018.

“Jangan mimpilah semudah itu mahu rampas kerajaan negeri seperti begitu senang untuk Adun lompat parti sampai 17 orang.

“Bung mungkin terlupa apa yang Umno lakukan kepada Sabah selama ini, mengaut hasil bumi Sabah hanya untuk mengayakan pemimpin Umno sedangkan di seluruh negeri rakyat masih kelaparan dan dilanda kemiskinan.

“Rakyat Sabah tidak lupa semua itu, sebab itulah mereka menukar Kerajaan Sabah sebelum ini kerana mahukan pembaharuan, maka wakil rakyat yang ada sekarang bersatu hati demi mencapai hak negeri ini,” tegasnya.-SabahNewsToday