Pilih Bahasa

Umno Libaran letak calon di semua kawasan Dun dalam Parlimen Libaran

Oleh Sabah News Today

SANDAKAN: Umno Libaran akan meletakkan tiga calon di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketua Penerangan Umno Libaran, Haji Alimunar Oto berkata ketiga-tiga Dun dalam Parlimen Libaran itu melibatkan Gum-Gum, Sungai Manila (kerusi baharu) dan Sungai Sibuga.

Ketua Penerangan Umno Libaran, Haji Alimunar Oto. Gambar SNT/Ihsan Umno Libaran

Alimunar berkata Umno Libaran juga bersedia untuk bekerjasama dan menyokong mana-mana calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan Umno dan Barisan Nasional Negeri asalkan calon yang dipilih bertanding sebagai calon Barisan Nasional.

“Kami sebulat suara membuat keputusan sesiapapun calon yang diputuskan oleh Ketua Umno Sabah merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Malaysia, Dato Sri Bung Moktar Radin akan diterima dan bersedia untuk memberi kerjasama semasa PRN nanti,” katanya kepada pemberita semasa sidang media khas di Markas Pilihanraya Umno Bahagian Libaran dekat sini hari ini.

Alimunar menambah keputusan sebulat suara itu dibuat semasa mesyuarat Umno Bahagian Libaran diadakan yang dipengerusikan oleh Ketua Bahagian, Suhaimi Haji Nasir dan dihadiri oleh semua Ahli Jawatankuasa Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri semalam.

“Keputusan calon itu nanti bukan sahaja dari ahli jawatankuasa Libaran, sebilangan besar ahli jawatankuasa bahagian itu ketua-ketua daerah mengundi di 25 Pusat Daerah Mengundi di Libaran dan mereka ini mewakili suara akar umbi dan kami yakin apa pun keputusan yang dibuat di peringkat perhubungan negeri dan Umno Libaran itu sendiri adalah keputusan dari akar umbi,” katanya lagi

Sementara itu, mengulas mengenai persediaan untuk menghadapi PRN, kesemua jentera pilihanraya Umno Bahagian dan Barisan Nasional Libaran telah diaktifkan sepenuhnya dan bersedia menghadapi pilihanraya pada bila-bila masa.-SabahNewsToday