Pilih Bahasa

UMNO MASIH DITERIMA RAKYAT: JAFRY

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

PAPAR: Setiausaha Umno Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata Umno masih lagi sebuah parti yang diterima rakyat khususnya orang Melayu dan Bumiputera berdasarkan kepada semangat serta komitmen ahli untuk terus bersama berjuang bersama parti keramat ini.

Jelas beliau, kejayaan penyusunan semula bahagian bahagian Umno di 25 bahagian di Sabah ternyata membuktikan parti keramat itu masih relevan bersama pemimpin dan ahli parti yang masih setia dalam perjuangan.

Jafry (kanan) ketika sesi taklimat kepada kepimpinan Umno bahagian Papar. – Gambar SNT/Ihsan Umno Sabah

“Berdasarkan kepada keupayaan kita (Umno Sabah) menyusun semula kesemua bahagian di negeri ini ,akuilah bahawa Umno masih relevan, sekaligus menafikan tanggapan sesetengah pihak yang menganggap Umno telah terkubur di Sabah.

“Saya yakin dan percaya, sekiranya kita melakukan perubahan dalam semua aspek kepimpinan parti, sudah pasti Umno akan pulih dan akan bangkit menjadi parti yang penting dalam negara ini,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kinabatangan berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja bersama kepimpinan Umno Sabah ke bahagian Papar dan Kimanis.

Lawatan yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi Umno Sabah, Datuk Yakub Khan itu turut disertai oleh Bendahari Umno, Suhaimi Nasir; Ketua Penerangan Datuk Raime Unggi serta Pergerakan Wanita Pemuda dan Puteri.

Jafry menjelaskan kekalahan Umno dan BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) yang lalu seharusnya menjadikan peluang untuk bangkit semula.

Beliau turut melahirkan harapan agar akar umbi parti di semua peringkat terus bersatu, seia dan sekata dalam berhadapan dengan cabaran membina kembali parti itu.

“Jadi yakinlah, jika kita bersepakat dan yakin dengan perjuangan kita dengan meletakkan kepentingan parti lebih dari lain maka kita akan bangkit dan jadi parti yang lebih hebat,” katanya. – SabahNewsToday