Pilih Bahasa

Umno/Pas akan pengaruhi PBS untuk tolak Pindaan kepada Perkara 1(2) Perlembagaan

Oleh Chris Maskilone

SANDAKAN: Upko khuatir calon PBS Datuk Linda Tsen akan dipengaruhi oleh Umno dan Pas untuk tidak menyokong sebarang cadangan pindaan kepada Perlembagaan Perkara 1(2).

Presiden Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata sekiranya Linda menang PRK Sandakan ini dengan bantuan Umno dan Pas maka sudah pasti Linda akan dipengaruhi oleh kedua parti ini yang terbukti tidak menyokong pindaan di Parlimen baru-baru ini.

Madius serta pimpinan Upko memberi sokongan kepada Vivian di Dewan Serbaguna SRK Sung Siew semalam. Gambar SNT/ Ihsan KPLB

Bercakap semasa ceramah perdana untuk membantu calon DAP PRK Sandakan Vivian Wong Shir Yee di Dewan Serbaguna SRK Sung Siew di sini semalam, Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri percaya ini tidak akan berlaku sekiranya pengundi Sandakan memilih Vivian.

Baru-baru ini, Pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Perkara 1(2) bertujuan untuk mengembalikan perkataan asal Perkara tersebut dan membuka jalan kepada pengembalian hak-hak dalam perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak dapat diteruskan apabila gagal mendapat sokongan dua pertiga daripada ahli Dewan Rakyat.

Antara mereka yang memilih untuk tidak mengundi adalah wakil Umno dan Pas.

Madius menyampaikan ucapan sempena Ceramah Perdana di Dewan Serbaguna Sung Siew. Gambar SNT/Chris Maskilone

Madius juga percaya Vivian seperti mendiang bapanya Datuk Stephen Wong mempunyai semangat untuk membawa pembangunan kepada Sandakan.

“Kita lihat tadi bagaimana, Vivian berucap dengan begitu lancar. Saya pasti beliau akan dapat membawa aspirasi rakyat Sandakan dengan sempurna sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat kelak,” kata Madius.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kesemua 600 ahli Upko di Sandakan akan memberi sokongan penuh kepada Vivian.

Vivian menyampaikan aspirasi pilihanrayanya kepada hadirin di ceramah perdana Dewan Serbaguna SRK Sung Siew semalam, Gambar SNT/Chris Maskilone

Antara yang hadir pada malam itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick, Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Jannie Lasimbang, Adun Paginatan, Datuk Abidin Madingkir, Adun Kuala Penyu Datuk Limus Jury dan hampir keseluruhan ahli majlis tertinggi Upko.-SabahNewsToday