Pilih Bahasa

UMNO SABAH DIBERI AUTONOMI PENUH – ANNUAR

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Majlis Tertinggi Umno bersetuju memberikan autonomi sepenuhnya kepada Umno Sabah dalam urus tadbir parti tersebut di negeri ini.

Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Bung Moktar Radin juga diberi kebebasan untuk memperincikan keperluan Umno Sabah dalam mereliasasikan autonomi penuh tersebut.

Tan Sri Annuar Musa bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Umno Sabah di Hotel Le Meridien hari ini. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Kita tunggu dari Sabah untuk buat panduan terperinci. Kita mahu tentukan apa yang Sabah perlu untuk mendapat autonomi penuh,” kata Annuar.

Terdahulu, beliau menyatakan bahawa autonomi yang diberikan itu membolehkan Umno Sabah membuat keputusan dan merangka perjalanan masa depan parti berkenaan di peringkat negeri.

“Seperti mana yang dipersetujui oleh Majlis Tertinggi, Umno Sabah diberikan autonomi-autonomi tertentu yang akan diperincikan daripada semasa ke semasa termasuklah isu-isu berkaitan kepentingan rakyat Sabah.

“Malah kita berharap Umno Sabah akan dapat membantu Umno Malaysia dalam memberikan nasihat dan pandangan berhubungan dengan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan rakyat Sabah.

“Apa yang penting adalah semangat dan roh perjuangan Umno yang telah wujud di Sabah sekian lama ini diteruskan secara lebih gigih lagi kerana saya dapati ramai kepimpinan baharu, kepimpinan yang lebih muda serta bertenaga,” katanya dalam satu sidang media selepas Majlis Perjumpaan Setiausaha Agung Umno bersama pemimpin Umno Sabah di Hotel Le Meridien pada Jumaat.

Menurutnya lagi pertemuan beliau dengan pemimpin Umno Sabah telah mengesahkan penyusunan kepimpinan baru badan perhubungan negeri ini.

Katanya, dalam penyusunan semula badan perhubungan Umno Sabah, pejuang politik muda parti tersebut diberi peluang untuk memegang jawatan yang lebih tinggi di peringkat negeri yang sebelum ini tidak mendapat peluang kerana mereka berada di bawah pimpinan lama.

Katanya Umno menganggap ia sebagai satu perkara positif kerana lebih membuka ruang pandangan politik dan satu proses terkini perjuangan Umno khususnya di Sabah.

“Dengan ini, bolehlah saya mengesahkan bahawa penyusunan semula Umno Sabah adalah sempurna dan bersiap siaga untuk terus berfungsi sebagai sebuah parti yang akan memainkan peranan penting dalam arena politik negara khususnya di Sabah.

“Kita sangat mengalu-alukan tokoh-tokoh yang lebih muda, segar dan tidak mempunyai agenda politik yang tertentu tapi sebaliknya memberikan potensi yang besar untuk mempimpin Umno di Sabah.

“Parti akan terus memberikan sokongan yang padu kepada pimpinan Sabah dan kita berharap Umno Sabah akan menjadi semakin kuat lagi pada masa akan datang,” jelasnya. -SabahNewsToday