Pilih Bahasa

Umno Sabah minta Kerajaan Negeri halang pemendekan perkhidmatan NC UMS

KOTA KINABALU: Umno Sabah mahu supaya kerajaan negeri Sabah masuk campur untuk menolak usaha memendekkan perkhidmatan Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Ketua Umno Tuaran Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata Prof Kamarudin merupakan anak jati negeri Sabah yang telah berkhidmat sebagai Naib Canselor dengan cemerlang melalui tadbir urus yang telus dan berwibawa.

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan. Gambar Fail SNT

“Umno Sabah merasa terkejut dan kecewa dengan berita tempoh perkhidmatan beliau akan dipendekkan,” katanya.

Umno Sabah mendesak Menteri Pendidikan tidak membuat keputusan memendekkan tempoh perkhidmatan Prof Kamarudin, katanya.

“Tindakan memendekkan tempoh perkhidmatan Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin tanpa alasan munasabah tidak boleh diterima apatah lagi tempoh perkhidmatan (sebenar) beliau akan tamat dalam setahun lagi.

“Pemendekan tempoh perkhidmatan ini tentunya boleh mengundang berbagai persepsi negatif yang tidak berasas terhadap beliau yang akan merosakkan nama dan kerjaya beliau. Menteri Pendidikan mesti berlaku adil dalam perkara ini,” katanya.

Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata Umno Sabah mengucapkan tahniah kepada Prof Kamarudin kerana buat pertama kali dalam sejarah 25 tahun UMS, beliau bersama tenaga akademik dan kakitangan UMS telah memecah rekod bila UMS telah diikhtiraf oleh QS World University Rankings 2020 sebagai salah satu dari 1,000 universiti teratas dunia.

Di kalangan universiti terbaik Asia pula, UMS terletak dalam kedudukan 206 dari ribuan universiti di Asia pada tahun ini.

UMS juga dalam kedudukan terbaik untuk mencapai tahap 75 peratus kebolehpasaran graduan (graduate employability).

“Kesemua pencapaian ini antara lainnya kerana kecemerlangan kakitangan UMS terutama tenaga akademiknya yang diterajui oleh Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin.

Justeru itu Umno Sabah mendesak supaya Menteri Pendidikan tidak membuat satu keputusan yang dilihat merugikan UMS dan negeri Sabah.

Terdahulu dilaporkan, Prof Kamarudin telah mengesahkan sendiri desas desus bahawa perkhidmatan beliau yang sepatutnya tamat pada tahun depan (satu penggal) telah dipendekkan.

Katanya berdasarkan kepada surat yang diterima daripada Kementerian Pendidikan, tempoh beliau bertugas sebagai Naib Canselor UMS berakhir pada 29 Julai depan.-SabahNewsToday