Pilih Bahasa

Umno terbuka bentuk pakatan dengan parti di Sabah: Najib

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

PAPAR: Umno Sabah terbuka untuk mempunyai pakatan dengan mana-mana parti di negeri ini asalkan mereka percaya terhadap dasar diperjuangkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata agak terlalu awal untuk mengatakan mengenai pembentukan pakatan itu justeru Umno akan menentukan pilihan itu kemudian.

Najib (tengah) bergambar bersama-sama ahli dan perwakilan Sayap Umno iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Papar di Dewan Lok Kawi Heights Sabindo Kinarut. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

“Kemungkinan untuk Umno mempunyai pakatan dengan parti di Sabah itu ada tetapi kita akan tentukan kemudian.

“Mengenai Umno dan Pas di Sabah pula kita tidak mahu ia dijadikan isu seolah-olah hendak bermain dengan Pas Sabah, sebaliknya kita kena mencari jalan untuk mengukuhkan Umno semula terlebih dahulu,” katanya.

Orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar dengan Najib semasa tiba untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Papar di Dewan Lok Kawi Heights Sabindo Kinarut. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Papar di Dewan Lok Kawi Heights Sabindo Kinarut yang dihadiri kira-kira 1,000 ahli Umno Bahagian Papar di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Umno Sabah Datuk Yakub Khan dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Najib (tengah) memotong kek sempena perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Papar di Dewan Lok Kawi Heights Sabindo Kinarut. Turut kelihatan Yakub dan Rosnah (kanan). – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Najib yang juga Penasihat Umno berkata beliau yakin Umno dan BN masih relevan untuk bertapak di Sabah, namun perkara asas yang perlu dilakukan oleh pemimpin Umno negeri itu pada masa ini adalah menyakinkan rakyat bahawa Umno dan BN adalah pilihan terbaik mereka.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu lagi beliau juga melihat terdapat kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat bahawa zaman pemerintahan BN jauh lebih baik dan dasar-dasar BN itu sendiri menguntungkan rakyat Sabah.

“Dalam beberapa siri lawatan saya ke Sabah saya melihat perkara utama yang perlu dilakukan terutama penggantian pemimpin sebab ramai pemimpin kita bersemangat tapi belum berpengalaman,” katanya.

Tambah beliau lagi dalam masa terdekat ini Umno perlu berusaha menerapkan aspek itu agar pemimpin baharu menjadi lebih matang dan mampu bersuara dalam kancah politik semasa. – SabahNewsToday