Pilih Bahasa

UMS dan SNT jalin kerjasama pintar tahun depan.

Oleh Zakaria Damit

Saat (kiri) bersama Zakaria (dua dari kiri) bergambar kenangan di konti KKFM UMS selepas kunjungan hormat hari ini. Gambar SNT/Zakaria Damit

KOTA KINABALU: Radio Kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) – atau dikenali sebagai Kampus Kita FM (KKFM) – akan bekerjasama pintar dengan media online Sabahnewstoday.com (SNT) dalam menyebarluaskan berita terkini kepada pelajar serta masyarakat di seluruh negeri.

Pengurus Kampus Kita FM, Saat Ag, Damit berkata pihaknya melihat trend terkini masyarakat muda atau pelajar lebih cendurung kepada sosial media untuk melihat perkembangan terkini sekaligus mempunyai kelebihan memiliki telepon pintar yang berkualiti tinggi.

Katanya pendekatan ini membolehkan pelajar serta pendengar radio “Kampus Kita FM” sentiasa peka terhadap perkembangan semasa yang berlaku di sekitar mereka dalam tempoh singkat dan tepat.

“KKFM mempunyai slot rancangan khusus kepada pensyarah serta pelajar yang boleh dimuatkan dalam berita online Sabahnewstoday.com sekaligus memboleh pembaca mendapat maklumat berkaitan info melalui bidang kepakaran masing-masing.

“UMS mempunyai tenaga pakar dalam bidang tertentu sambil menggalakan pensyarah akademik menyumbang idea serta mengulas isu-isu semasa untuk dikongsikan melalui pembaca media online,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi Eksekutif Sabahnewstoday.com, Zakaria Damit, di Pejabat KKFM, di UMS hari ini.

Hadir sama dalam kunjungan itu, Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK) Talib Abdullah Shani dan Pegawai Penerbitan PPSKK, Che Hasruddin Che Hassan.

Saat berkata KKFM melihat kerjasama pintar ini membolehkan pelajar serta pensyarah mempunyai medium terbaik untuk melihat hasil karya serta dapat dikongsikan dengan masyakarat umum di luar sana.

Dalam perkembangan sama, KKFM akan menyediakan slot khas kepada kementerian serta jabatan dan agensi kerajaan dalam usaha mencapai “Petunjuk Prestasi Utama” (KPI) yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Afdal baru-baru ini.

“Ini merupakan tanggungjawab korporat UMS untuk membantu serta bersama-sama kerajaan negeri bagi memastikan 10 bidang keberhasilan utama yang digariskan dapat dicapai pada tahun depan,” katanya.-SabahNewsToday