Pilih Bahasa

UMS-Finas jalin kerjasama bangunkan industri perfileman tempatan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi universiti pertama di negara ini menandatangani Surat Niat (LoI) bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi membangunkan industri perfileman tempatan.

Menerusi Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), perjanjian berkenaan adalah bertujuan bagi pembangunan modal insan dalam kalangan penggiat industri filem bersama pelajar UMS melalui penganjuran bengkel latihan atau program yang menjurus kepada pengetahuan dan kemahiran.

Dr Marsitah (dua kiri) dan Ahmad Idham (dua kanan) saling bertukar dokumen LoI sambil disaksikan Profesor Madya Ts Dr Ramzah (kiri) dan Subaidah kanan) pada Majlis Menandatangani Surat Niat (LoI) antara UMS dan FINAS di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Ihsan UMS

Kerjasama juga melibatkan pelaksanaan program ‘pitching’ dan ‘incubator’ antara penggiat industri filem dan kandungan kreatif dengan pelajar universiti berkenaan.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Profesor Madya Ts Dr Ramzah Dambul berkata hubungan yang terjalin antara UMS dan Finas sangat strategik kerana filem ialah salah satu elemen pendidikan yang efektif.

Beliau berkata pendidikan formal seperti yang ada disampaikan di sekolah serta universiti akan berakhir apabila meninggalkan institusi pendidikan namun pembelajaran berterusan melalui industri pop kerana ini sangat dekat dengan kita dan filem adalah salah satu daripadanya.

“Sabah mempunyai ramai individu kreatif seperti jolokon yang diberikan kepada negeri ini sebagai ‘The Land of Creative People.’

“Oleh itu, LoI ini diharapkan bakal menjadi platform bagi mencipta ekosistem kepada penggiat perfileman dan seni kreatif di negeri ini agar mampu pergi lebih jauh dalam bidang ini,” katanya. 

Ahmad Idham (dua dari kanan) menyampaikan dana kepada salah satu penerima dari syarikat produksi filem tempatan Sabah pada Majlis Menandatangani Surat Niat (LoI) antara UMS dan FINAS di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Ihsan UMS

LoI yang ditandatangani juga akan merangkumi kerjasama dalam penganjuran simposium, konferens, kursus jangka pendek, bengkel, seminar serta sebagai medan pertukaran idea, maklumat, pengalaman, ‘best practice’ dan rangkaian industri antara penggiat industri filem dan kandungan kreatif dengan UMS.

Majlis menandatangani dokumen LoI disempurnakan Dekan FKSW UMS, Dr  Marsitah Mohd Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dengan disaksikan Dr Ramzah Dambul dan Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal Finas, Subaidah Md Top.

Finas turut menyampaikan Dana Mikro dan Dana Produksi kepada 18 syarikat produksi filem tempatan.

Sementara itu, Ahmad Idham berkata pemfokusan pembangunan industri di Sabah dan Sarawak adalah salah satu agenda yang hendak dilaksanakan sejak beliau dilantik menerajui Finas pada Mac lalu.

“Saya teruja untuk datang ke UMS dan menandatangani Surat Niat kerana ini adalah permulaan kepada agenda memperhebatkan industri perfileman di negeri ini.

“Penggiat industri perfileman di Sabah sebenarnya sudah bersedia namun berhadapan dengan masalah kekurangan peluang  dan infrastruktur untuk berkarya.

“Kita berpendapat, apabila mengadakan LoI bersama UMS, Finas boleh menjadi badan merancakkan pembikinan filem di sini sekali gus memberi ruang dan peluang kepada pelajar universiti terlibat sama dalam bidang terbabit,” katanya. -SabahNews Today