Pilih Bahasa

UMS Muncul Pemenang Tempat Kedua Pertandingan Huawei ICT Malaysia 2018-2019

Oleh Sabah News Today

Prof. Datuk Dr. D Kamarudin bagi pihak UMS menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang Huawei ICT Academy Malaysia yang disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, Teoh Nie Ching. Gambar SNT/Ehsan UMS

KOTA KINABALU: Pasukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraih tempat kedua pada Pertandingan Akhir Huawei ICT Malaysia 2018-2019 yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut kenyataan UMS, kejayaan itu diperoleh melalui tiga pelajar dari Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) iaitu Liew Chun Khai, Lynnett Lim Weng Khey dan Tan Yee Leng serta seorang pensyarah FKI yang juga tutor pasukan, Dr. Tan Soo Fun.

“Melalui kemenangan ini membolehkan pasukan UMS meraih hadiah empat buah telefon Huawei Nova 3 berserta wang RM2,000.

Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, Teoh Nie Ching (tiga kiri) menyempurnakan penyampaian hadiah kepada peserta UMS. Turut kelihatan Prof. Datuk Dr. D Kamarudin (empat kiri). Gambar SNT/Ehsan UMS

“Kesemua mereka terlebih dahulu berjaya melepasi peringkat awal pertandingan yang berlangsung pada 13 -14 Disember 2018 dan turut dipilih mengikuti Program Pentauliahan Profesional Huawei ICT Associate (HCIA) serta latihan persiapan peringkat akhir,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, Teoh Nie Ching.

Beliau turut menyampaikan Anugerah Pencapaian Cemerlang Huawei ICT Academy Malaysia kepada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kamarudin D Mudin sebagai pengiktirafan prestasi cemerlang UMS dalam pembangunan bakat ICT.

Gambar kenangan UMS bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Teoh Che Ning (Tengah). Turut kelihatan Prof. Datuk Dr. D Kamarudin (empat kiri), Dr Ag Asri (tiga kiri), Hapipah (empat kanan) dan Dr. Tan Soo Fun (dua kiri). Gambar SNT/Ehsan UMS

Pertandingan tersebut antara lain bertujuan memupuk bakat ICT tempatan dan membangunkan pemimpin ICT generasi yang akan datang di Malaysia selain mempromosikan daya saing ICT negara, inovasi dan kreativiti, yang menjadi asas untuk membina ekonomi berasaskan pengetahuan.

Pertandingan akhir menyaksikan tujuh pasukan dari tujuh universiti bersaing iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UNITEM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Taylor dan Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR).

Hadir sama Dekan FKI, Prof. Madya Dr. Ag Asri Ag Ibrahim dan Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Noor Hapipah Samat. -SabahNewsToday