Pilih Bahasa

UMS pastikan pelajar nikmati pembelajaran seiring keperluan industri

Oleh Alfred Petrus

SANDAKAN: Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa berusaha memastikan para pelajar menikmati setiap detik pembelajaran di institusi berkenaan serta mempersiapkan mereka selaras dengan keperluan industri masa kini.

Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata usaha itu antara keutamaan pihak universiti seperti yang terkandung dalam Bidang Keberhasilan Utama (KRA), Pelan Strategik UMS 2018-2022 iaitu Meningkatkan Pengalaman Holistik Pelajar.

Marcus (belakang tengah) mengambil gambar bersama Pelajar baharu FPL UMS Sandakan. Turut kelihatan Dekan FPL, Prof. Dr. Abdul Hamid Ahmad (belakang dua kanan). Gambar SNT/Ihsan UMS

“Kita mahu menjana graduan yang lebih berkualiti sekali gus menjadi universiti yang mempunyai kebolehpasaran graduan yang tinggi.

“Justeru, adalah menjadi harapan UMS agar setiap pelajar juga dapat memberikan sepenuh tumpuan kepada pembelajaran serta sentiasa berusaha menyediakan diri dengan ilmu dan kemahiran yang terbuka luas di gedung ilmu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Ikrar dan Aku Janji Pelajar Baharu Fakulti Pertanian Lestari, UMS Sandakan, hari ini.

Pelajar FPL UMS Sandakan melafazkan ikrar dan aku janji. Gambar SNT/Ihsan UMS

Teks ucapannya dibacakan Penolong Naib Canselor, Prof. Dr. Marcus Jopony.

Menurut Taufiq para pelajar perlu memanfaatkan setiap ruang dan peluang yang telah disediakan untuk bekalan tambahan alam kehidupan selepas bergelar graduan kelak.

Beliau mengingatkan para pelajar agar menyisihkan amalan-amalan negatif seperti malas, suka bertangguh, ponteng kelas dan sebagainya sebelum ia mendatangkan mudarat yang lebih berat pada masa hadapan.

“UMS akan terus membuka peluang untuk anda menggapai impian, menunjuk jalan ke arah kecemerlangan.

“Ikhlaskan hati, teguhkan tekad kerana di sini lahirnya cinta ilmu, cinta iman dan citra bakal pemimpin negara pada masa hadapan,” tambahnya. -SabahNewsToday