Pilih Bahasa

UMS sambut baik keputusan KPT benarkan (PdP) secara dalam talian.

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyambut baik dan menyokong keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan universiti awam dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

Kaedah PdP itu akan diteruskan dengan syarat bahawa semua pelajar secara keseluruhannya mempunyai akses manakala pensyarah dan infrastruktur pembelajaran dalam talian telah sedia sepenuhnya.

Prof Dr Taufiq. Gambar Fail SNT

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata universiti itu mempunyai prasarana PdP yang membolehkan PdP diteruskan tanpa perlu menghadiri pertemuan secara bersemuka atau face-to-face (F2F).

Beliau menambah, prasarana penyampaian PdP secara dalam talian telah ditingkatkan di UMS sejak beberapa tahun lalu sesuai dengan hasrat mereka meningkatkan akses dan kualiti penyampaian PdP melalui kaedah pembelajaran teradun (blended learning).

“Pada masa ini, pelajar dan pensyarah boleh mengadakan sesi kuliah atau tutorial secara maya menggunakan platform Smart2UMS atau Smartv3 yang sedia untuk diakses pada bila-bila masa melalui Internet.

“Pensyarah juga dibenarkan menggunakan platform dan alat teknologi (tools) pembelajaran dalam talian yang lain seperti Google Classroom, Schoology, Facebook, Edmodo, Kahoot, Padlet, aplikasi WhatsApp dan e-mel,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehingga kini, Dr Taufiq berkata kesemua fakulti di UMS telah melaksanakan PdP secara dalam talian ke atas kursus-kursus yang ditawarkan oleh program pengajian akademik mereka di bawah inisiatif pembelajaran talian di bawah Smart2UMS atau Smartv3 dan telah mencapai sehingga 73 peratus.

Katanya para pensyarah dan pelajar UMS juga telah diberikan latihan dan pendedahan secukupnya tentang pelaksanaan PdP secara dalam talian.

Oleh itu, Dr Taufiq berkata pengurusan UMS yakin pelajar dan pensyarah UMS telah bersedia untuk melaksanakan PdP secara maya sepenuhnya sepanjang arahan pembatalan sesi kuliah/tutorial secara bersemuka yang dikenakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sekarang.

“Berdasarkan prasarana PdP dalam talian sedia ada di UMS serta kesediaan pelajar dan pensyarah yang telah diberikan latihan dan pendedahan kepada kaedah pelaksanaan PdP secara dalam talian sebelum ini, pengurusan UMS yakin bahawa para pelajar dan pensyarah telah bersedia untuk meneruskan pengajian melalui kaedah dalam talian.

‘”Pelaksanaan PdP secara dalam talian akan memberikan manfaat terutama kepada para pelajar kerana membolehkan mereka meneruskan sesi pembelajaran dari mana-mana lokasi mereka berada tanpa perlu menghadiri kuliah secara bersemuka atau face-to-face.

“Pelaksanaan PdP secara dalam talian juga membolehkan para pensyarah dan pelajar menyambung semula sesi PdP bagi memenuhi keperluan silibus serta kurikulum kursus masing-masing dan sekaligus membantu mengurangkan impak PKP terhadap kelancaran pengajian akademik di IPT,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, katanya UMS merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih khususnya kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad dan KPT di atas pengumuman pelaksanakan PdP secara dalam talian

Jelas beliau, UMS komited untuk melaksanakan PdP secara dalam talian ke atas kursus-kursus yang ditawarkan oleh universiti pada semester pengajian ini selaras dengan pengumuman oleh KPT. -SabahNewsToday