Pilih Bahasa

UMS sasar pelajar ke program Huawei Seeds for the Future di China

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyasarkan sekurang-kurangnya dua pelajar terpilih mewakili Malaysia ke program Huawei Seeds for the Future di China yang berlangsung pada 28 Jun – 13 Julai 2019.

Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Komuniti UMS, Prof. Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri berkata sasaran itu berdasarkan pencapaian UMS yang sebelum ini pernah bersama beberapa pelajar universiti lain terpilih mewakili negara sebanyak dua kali.

Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Komuniti UMS, Prof. Dr. Coswald Stephen Sipaut. Gambar SNT/Ihsan UMS

“Sebagai makluman, program anjuran Huawei ini akan memilih 10 pelajar terbaik dari seluruh Malaysia yang kemudiannya akan menjalani program sangkutan di Huawei China selama dua hingga tiga minggu.

“Mereka akan bersama-sama dengan pelajar terbaik yang terpilih dari seluruh dunia untuk belajar dan diberi pendedahan tentang proses kerja bersama syarikat gergasi teknologi kemunikasi bertaraf global ini,” katanya.

Beliau ditemui ketika sesi pengenalan dan taklimat ringkas program Huawei Seeds for the Future di Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) UMS, di sini hari ini.

Taklimat disampaikan Pengarah Kanan Perhubungan Awam Huawei Malaysia, Simon Ng.

Pelajar UMS mendengar taklimat pengenalan program Huawei Seeds for the Future yang disampaikan Pengarah Kanan Perhubungan Awam Huawei Malaysia, Simon Ng. Gambar SNT/Ihsan UMS

Menurut Prof. Dr Coswald, taklimat yang diadakan pada kali ini antara lain bagi memaklumkan para pelajar tentang kriteria serta penilaian yang dibuat oleh pihak Huawei dalam memilih 10 pelajar terbaik untuk mewakili negara.

“Untuk layak para pelajar perlu menunjukkan komitmen yang tinggi kerana mereka perlu melepasi beberapa tapisan yang ada.

“Ia antara lain merangkumi penilaian projek, sesi temu bual dan persembahan berdasarkan tajuk yang diberi,” katanya.

Taklimat yang mendapat sambutan memberangsangkan daripada hampir 200 pelajar yang mengambil bidang berkaitan ICT, turut dihadiri Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, dan Dekan FKI, Prof. Madya Ag. Asri Ag. Ibrahim.-SabahNewsToday