Pilih Bahasa

UMS, Sime Darby jalin usaha, beri peluang pelajar menimba ilmu melalui Tvet

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa menggalakkan kerjasama dengan industri untuk memberikan peluang kepada pelajarnya untuk menimba ilmu sebaiknya sebeum bergraduasi.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Madya TS Dr Ramzah Dambul berkata usaha berkenaan adalah selaras dengan kehendak kementerian untuk menekankan aktiviti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (Tvet) dalam pengajian.

Ramzah (kiri) dan Mohd Faris bertukar-tukar dokumen perjanjian LoI. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Matlamat Tvet bagi memenuhi permintaan industri dan penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, selaras dengan globalisasi berasaskan pengetahuan, kemajuan teknologi dan mobiiti tenaga kerja global.

“Dengan adanya aktiviti lapangan ini, sudah pastinya akan memberi peluang terbaik untuk pelajar perhutanan. Pengalaman ‘hands-on’ menjadi proses pembelajaran berkesan yang mana pelajar melaksanakannya sendiri.

“Selaras dengan pengajian membabitan industri ini yang mana Sime Darby Plantation Berhad mempunyai inisiatif memulihkan hutan seluas 267 hektar di kawasan ladang Sapong Tenom,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Surat Hasrat (LoI) antara UMS dan Sime Darby Plantation Berhad, di Menara Canselori UMS, hari ini.

Dalam pada itu, katanya pelajar akan mempelajari secara holistik proses restorasi dari peringkat pemilihan benih, nurseri dan penanaman sehingga ke penjagaan (silvikultur).

Ramzah juga percaya melalui kerjasama itu akan menjurus kepada situasi menang-menang yang mana akan memberi peluang terbaik kepada pelajar yang terlibat untuk mempraktik atau mengimplimentasikan pembelajaran di bilik kuliah.

“Secara amnya, bukan sahaja dalam restorasi hutan, banyak lagi disiplin dan akan menyusul selepas ini seperti ekosistem dan ekologi, kepelbagaian flora dan fauna serta banyak lagi.

“Aktiviti perhutanan semua ini juga selaras dengan salah satu tujuan utama pusat Eko Kampus UMS iaitu penghujauan semula serta kelestarian alam sekitar.

“Penghasilan anak benih pokok hutan akan menjadi tapak utama latihan dan sumber kepada bahan tanaman yang boleh digunakan dalam akiviti ini,” jelasnya.

Sementara itu, majlis menandatangani LOI terbabit disempurnakan oleh Ramzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Plantation Berhad Wilayah Sabah, Mohd Faris Adli Shukery. -SabahNewsToday