Pilih Bahasa

UMS, Tambisan Travel meterai MoU bangunkan industri pelancongan komuniti

KOTA KINABALU, 7 Sept (Bernama) — Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan sebuah syarikat pelancongan Tambisan Travel and Tours Sdn  Bhd hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama dalam meningkatkan taraf hidup komuniti Tambisan melalui aktiviti pelancongan dan pemuliharaan alam semulajadi di Kampung Tambisan, Lahad Datu.

UMS diwakili Timbalan Naib Canselornya  (Penyelidikan dan Inovasi) Prof  Dr Shahril Yusof manakala  Tambisan Travel and Tours Sdn Bhd diwakili Pengarah urusannya Antin Ismail dan disaksikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Assafal Alian.

Melalui MoU  yang melibatkan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS itu, kedua-dua pihak bukan sahaja bakal bekerjama dalam membangunkan ekonomi komuniti setempat tetapi juga membolehkan pemindahan ilmu antara universiti dan penduduk.

Ketika mengalu-alukan bentuk kerjasama itu, Naib Canselor UMS Datuk Dr D Kamarudin D Mudin dalam ucapannya yang dibacakan oleh Shahril berkata, kerjasama berkenaan dapat menyediakan platform bagi mengenalpasti kepakaran di universiti yang sesuai dalam menangani keperluan komuniti.

Malah katanya, penglibatan golongan penyelidik, industri serta komuniti dalam MoU seperti itu akan dapat menyokong perlaksanaan Model Ekonomi Baru (NEM) Malaysia untuk mewujudkan negara berpengetahuan dan berpendapatan tinggi.

“Saya berharap majlis menandatangani MoU ini dapat memanpankan lagi program  industri perlancongan dengan kerjasama daripada pihak univerisiti dari segi kepakaran dan pertukaran ilmu sekaligus dapat memenuhi keperluan komuniti setempat,” katanya.

Sementara itu, Assafal berkata kerjasama ini akan menghasilkan produk-produk pelancongan yang dibangunkan oleh penyelidik, industri dan komuniti di samping dapat meningkatkan lagi kemahiran penduduk Kampung Tambisan untuk diterapkan dalam kehidupan seharian melalui aktiviti perlancongan.

— BERNAMA