Pilih Bahasa

UMS Terima RM1 Juta Sumbangan Zakat daripada Bank Pembangunan Malaysia Berhad

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Islam UMS menerima sumbangan zakat berjumlah RM1 juta dari Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB).

Sumbangan zakat disampaikan oleh Ketua Kumpulan Pengurusan Syariah BPMB, Ustaz Mohamad Salihin Deris kepada Timbalan Pendaftar UMS, Mohd Zaidie Adilai yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid UMS, di sini pagi tadi.

Mohamad Salihin Deris (tengah) menyampaikan replika cek sumbangan zakat RM1 juta kepada Mohd Zaidie (kanan) sambil disaksikan Suhaimi (kiri). Gambar SNT/Ihsan UMS

Terdahulu, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin dalam teks ucapannya yang dibacakan Zaidie berkata, UMS amat bertuah kerana mendapat kepercayaan daripada enam agensi luar termasuk BPMB pada sesi 2018/2019 dengan menyumbang kepada UMS untuk diagihkan kepada pelajar UMS dalam bentuk zakat.

“Pihak UMS berbesar hati dan berterima kasih kepada pihak BPMB di atas sumbangan berjumlah RM1 juta yakni penyumbang terbesar untuk zakat UMS setakat ini.

“Sumbangan zakat yang terkumpul akan diagihkan kepada empat kategori iaitu asnaf fakir, miskin, mualaf dan fi sabilillah (pelajar),” katanya.

Menurut Prof. Datuk Dr. D Kamarudin, sumbangan diagihkan mengikut permohonan zakat melalui sistem e-zakat yang telah dibuka permohonannya pada 26 Oktober hingga 26 November tahun lalu, melibatkan sejumlah 1,021 permohonan.

Turut hadir pada majlis tersebut Pengarah Pusat Islam UMS, Prof. Madya Dr. Muhamad Suhaimi Taat dan Eksekutif Kanan Komunikasi Korporat Kumpulan BPMB, Nor Sham Soyod.