Pilih Bahasa

UMS Terlibat Aktif dalam Mobiliti Antarabangsa Anjuran AIMS

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terlibat aktif dalam program mobiliti pelajar peringkat antarabangsa anjuran ASEAN International Mobility for Students (AIMS).

Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global UMS, Prof. Dr. Ho Chong Mun berkata, sejak penglibatan UMS dalam AIMS pada 2016, sejumlah 60 pelajar UMS telah mengikuti program mobiliti di beberapa universiti luar yang merupakan negara anggota AIMS.

Gambar kenang-kenangan sempena Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana AIMS 2019. Turut kelihatan Datin Paduka IR. Dr. Siti Hamisah (duduk enam dari kiri) dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antrabangsa) UMS, Prof Dr. Rasid Mail (duduk lima dari kanan).- Gambar SNT/Ihsan UMS

“Dalam tempoh yang sama, UMS juga menerima seramai 56 pelajar universiti dari negara ahli. Pada tahun 2019, setakat ini 11 pelajar UMS telah menjalani program mobiliti ini di Tsukuba University, Jepun; Mae Fah Luang University, Thailand; Central Luzon State University, Filipina; dan Daegu Catholic University, Korea Selatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Prof. Dr. Ho, penglibatan UMS dalam program ini amat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk mengantarabangsakan institusi pendidikan tinggi di negara ini.

Katanya, ia juga sebagai satu langkah untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada para pelajar tentang budaya dan kehidupan masyarakat di negara lain.

“Ia sekali gus mampu menyuburkan hubungan antara sesama universiti yang boleh membawa kepada jalinan kerjasama strategik dengan universiti-universiti serta negara yang terlibat.

Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global UMS, Prof. Dr. Ho Chong Mun. – Gambar SNT/Ihsan UMS

“Malah baru-baru ini kita di UMS juga amat bertuah kerana diberi kepercayaan oleh Bahagian Education Malaysia (BEM) , Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membantu menyelaras Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana AIMS 2019 di Kota Kinabalu yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka IR. Dr. Siti Hamisah Tapsir dan wakil-wakil universiti dari negara ahli,” jelas Prof. Dr Ho lagi.

Untuk rekod, sebanyak lapan negara yang terlibat dalam AIMS merangkumi negara Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, Jepun dan Korea Selatan.

Sehingga kini, seramai 1,200 pelajar telah terlibat dalam progam mobiliti membabitkan 61 institusi pengajian tinggi dari seluruh negara anggota AIMS yang mana kesemua pelajar yang terpilih ini akan ditaja melalui biasiswa yang diberikan oleh kerajaan negara masing-masing.-SabahNewsToday