Pilih Bahasa

UMS TERUS KOMITED DALAM PEMBANGUNAN EKOSISTEM MARIN DAN PENGELUARAN MAKANAN LAUT DI SABAH

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan terus komited memainkan peranan dalam pembangunan berkaitan ekosistem marin serta pengeluaran makanan laut di negeri ini.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr D Kamarudin D Mudin berkata pihaknya sentiasa mencari kaedah terbaik untuk dilaksanakan dari semasa ke semasa demi memastikan sistem akuakultur sedia ada dapat mengurangkan kesan kepada alam semula jadi.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr D Kamarudin D Mudin (tiga dari kiri) saling bertukar MoU bersama Timbalan Presiden yang juga Biro Penyelidikan Teknologi Marin Bio National Marine Biodiversiti Institute of Korea, Jung Su Yoo (dua dari kanan) sambil disaksikan oleh Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Dr Daud Yusof (tiga dari kanan) pada sesi menandatangani MoU sempena Persidangan Antarabangsa Sains Marin dan Akuakultur (ICOMSA) 2019 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Ihsan UMS

D Kamarudin berkata pengkaji daripada universiti berkenaan sedang berusaha menggunakan kaedah karbon yang rendah dalam menguruskan sumber laut dan sistem akuakultur.

“UMS juga sudah melaksanakan beberapa program berkaitan agar dapat mendidik dan memberi pendedahan kepada masyarakat khususnya golongan yang tinggal di pesisir pantai mengenai kepentingan penjagaan ekosistem marin.

“Usaha ini hanya akan mampu dicapai jika langkah pelaksanaan terbaik boleh dikenalpasti seterusnya dikongsikan bersama institusi pembuat dasar,” katanya.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Dr Daud Yusof (duduk tiga dari kanan) bersama Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr D Kamarudin D Mudin (empat dari kanan) bergambar bersama delegasi sempena Persidangan Antarabangsa Sains Marin dan Akuakultur (ICOMSA) 2019 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Sains Marin dan Akuakultur (ICOMSA) 2019, di sini, hari ini.

Persidangan terbabit dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Dr Daud Yusof mewakili Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong.

Dalam pada itu, Wong berkata beliau meminta semua peserta persidangan berkenaan dapat mewujudkan hubungan pelbagai komponen biodiversiti laut dengan perkhidmatan ekosistem marin spesifik dan seterusnya memberikan gambaran holistik mengenai langkah seterusnya yang boleh dilakukan.

Menurutnya, pendapat saintifik disokong bersama bukti yang jelas dan contoh boleh mempengaruhi persepsi orang awam serta institusi penggubal dasar untuk dimasukkan ke dalam pelaksanaan pemulihan marin dan pengurusan mampan.

“Saintis boleh memainkan peranan penting dalam pembangunan negara sekiranya mereka berjaya mengaitkan pemuliharaan marin dan akuakultur berserta pembangunan mampan dengan lontaran idea melalui persidangan dan penerbitan,” katanya.

Sementara itu, UMS turut memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama Institut Marin Biodiversiti Korea dan Muzium Sains Marin dan Teknologi Negara Taiwan.

Semua MoU berkenaan adalah kerjasama selama lima tahun bagi berkongsi ilmu serta kepakaran dalam pembangunan ekosistem marin.

Menerusi perjanjian itu juga UMS akan menghantar pelajar bagi melihat sendiri kaedah dan teknologi marin yang digunapakai di dua negara terbabit sebelum agar boleh dimanfaatkan di negeri ini. -SabahNews Today