Pilih Bahasa

UMS tuan rumah Mesyuarat SATU 2019

KAOHSIUNG: Universiti Malaysia Sabah (UMS) diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Universiti-universiti Asia Selatan, Asia Tenggara dan Taiwan (SATU) pada November ini.

Penolong Naib Canselor UMS, Prof Dr Marcus Jopony berkata, mesyuarat itu dijangka akan dihadiri oleh 18-20 universiti anggota SATU yang terdiri daripada universiti-universiti dari negara Brunei, Indonesia, India, Malaysia, Filipina, Thailand, Vietnam, Singapura dan Taiwan.

Rombongan UMS mengambil gambar kenangan bersama bendera universiti di hadapan bangunan NCKU Taiwan.Gambar SNT/Ihsan UMS

“Secara spesifiknya jawatankuasa SATU ditubuhkan oleh National Cheng Kung University (NCKU) Taiwan pada tahun 2003 bagi mengumpulkan pakar dari kesemua universiti sekitar Asia Tenggara, Asia Selatan dan Taiwan untuk berkongsi kepakaran dan membincangkan serta mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu semasa di negara-negara ahli.

“Kita merasa sangat bertuah kerana universiti yang menyambut ulang tahun ke-88 pada tahun ini telah memberi kepercayaan kepada UMS sebagai tuan rumah kepada program intelek yang bertaraf antarabangsa.

Perbincangan antara UMS dan NCKU berjalan lancar. Gambar SNT/Ihsan UMS

“Ia sekali gus menyemarakkan lagi pengisian sambutan ulang tahun UMS yang ke-25 pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden NCKU, Huey-Jen Su, di pejabatnya di sini kelmarin (1 April 2019).

Prof Dr Marcus berkata, pada pertemuan itu, Huey-Jen Su telah memaklumkan bahawa tema mesyuarat SATU kali ini ialah berkaitan Tanggungjawab Sosial Universiti (USR).

Menurut beliau, ia merupakan satu peluang yang baik untuk UMS jadikannya sebagai medan percambahan idea kerana universiti ini juga mempunyai program akademik yang berkaitan seperti Program Kerja Sosial di Fakulti Psikologi dan Pendidikan, selain kursus Khidmat Bakti Siswa yang merupakan subjek kokurikulum wajib yang perlu diambil oleh pelajar.

Prof. Dr. Marcus (tiga kanan) menyampaikan cenderahati kepada Huey-Jen Su. Gambar SNT/Ihsan UMS

“Aktiviti kemasyarakatan juga dijalankan secara aktif melibatkan pelajar dan kakitangan UMS.

“Sehubungan itu, kita telah mencadangkan agar para peserta mesyuarat bersama-sama pelajar UMS menyertai program tanggungjawab sosial di kampung yang berhampiran kampus, dan ia disambut baik oleh Presiden NKCU,” jelas beliau.

Mengulas lanjut Prof Dr. Marcus memaklumkan, pertemuan itu juga telah memberi ruang kepada perbincangan untuk mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) atau Memorandum Perjanjian (MoA) bagi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pertukaran pelajar dan kakitangan.

“Jika semuanya berjalan lancar, kita jangkakan satu majlis menandatangani MoU/MoA antara UMS-NKCU akan diadakan semasa Mesyuarat SATU kelak,” katanya yang juga merupakan Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK) UMS.

Hadir sama pada kunjungan itu ialah Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global UMS, Prof. Dr. Ho. Chung Mun, Timbalan Pengarah PPSKK UMS, Dr Jakaria Dasan, dan Pengarah Bahagian Perhubungan Antarabangsa NCKU, Prof. Chia-Yuan Chen.-SabahNewsToday