Pilih Bahasa

UMS Tubuh Institut Confucius

Delegasi UMS yang diketuai Datuk K Y Mustafa (kanan tiga dari depan) sedang mengadakan perbincangan dengan Hanban. Turut kelihatan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr D Kamarudin D Mudin (kanan empat dari depan).Gambar SNT/Ehsan UMS

KOTA KINABALU: Institut Confusius (CI) akan mulai beroperasi di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada awal tahun 2019.

Menurut kenyataan Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK) UMS, penubuhan institut itu diluluskan bulan lalu oleh Hanban, iaitu agensi kerajaan China yang mengurus selia CI.

“Perbincangan lanjut bersama Hanban telah diadakan oleh delegasi UMS yang diketuai Pengerusi Lembaga Pengarah, Datuk K Y Mustafa pada persidangan Institut Confucius ke-13 bertempat di Chengdu, China pada Selasa dan Rabu (4-5 Disember) lalu.

“Melalui perbincangan pada persidangan yang dihadiri lebih 2000 delegasi dari seluruh dunia, pelaksanaan dan perasmian institut ini di UMS dijadualkan pada awal tahun depan,” demikian menurut kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan, penubuhan itu sekali gus menjadikan UMS sebagai institut pengajian tinggi yang ketiga, dan universiti awam yang kedua di Malaysia yang mempunyai CI. UMS juga menjadi antara sekitar 510 institusi yang mempunyai Institut Confucius di 127 buah negara.

“Peranan utama institut ini adalah menyumbang kepada pembelajaran Bahasa Mandarin dan pertukaran kebudayaan dengan negara China. Dalam konteks UMS, institut ini boleh memberi manfaat kepada pelajar UMS dan masyarakat setempat di negeri Sabah.

“Sebahagian dari kos operasi institut ini akan ditanggung oleh pihak Hanban. UMS mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pelbagai pihak di Malaysia mahupun di China atas sokongan dan sumbangan yang diberikan yang akhirnya membawa kepada kejayaan usaha untuk mewujudkan Institut Confucius di UMS,” tambah kenyataan tersebut.

Untuk rekod, dua lagi institusi pengajian tinggi di Malaysia yang mempunyai CI ialah Universiti Malaya dan Segi University.-SabahNewsToday