Pilih Bahasa

UMS – Yun Fook Resources jalin kerjasama penyelidikan durian dan pengeluaran sarang burung Walit

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan mewujudkan projek Kebun Penyelidikan Durian melalui kerjasama universiti-industri dengan Syarikat Yun Fook Resources Sdn. Bhd.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr D Kamarudin D Mudin berkata, melalui kerjasama tersebut UMS akan membina pasukan penyelidikan untuk memberi tumpuan kepada penyelidikan durian.

Kamarudin (dua kiri) dan Yap Yun Fook (dua kanan) saling bertukar dokumen MoA sambil disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk KY Mustafa (tiga kiri).Gambar SNT/Ihsan UMS

“Durian ialah pokok saka dan boleh tumbuh menjadi pohon yang besar seperti kayu balak komersial yang lain dan berupaya mencapai usia sehingga berpuluh-puluh tahun.

“Oleh itu, projek Kebun Penyelidikan Durian di UMS adalah projek jangka panjang yang merangkumi kajian terhadap penghasilan buah durian, bibit durian, di samping memfokuskan terhadap ilmu pengetahuan baharu berkaitan penghasilan bahan tanaman, teknik aruhan dan proses semula jadi dalam pendebungaan, termasuklah kajian berkaitan peranan haiwan dan serangga dalam menambah baik kualiti pokok dan hasil durian,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UMS dengan Syarikat Yun Fook Resources Sdn. Bhd di Bangunan Canselori UMS, di sini, hari ini.

Selain projek Kebun Penyelidikan Durian, MoA itu juga merangkumi kerjasama dalam Pengeluaran Burung Walit di Fakulti Pertanian Lestari (FPL) UMS, Kampus Sandakan.

Menurut Prof. Datuk Dr. D Kamarudin, sebagai institusi pendidikan tinggi yang meletakkan pemuliharaan biodiversiti sebagai salah satu penekanannya, UMS berhasrat untuk memainkan peranan di dalam mengumpulkan varieti dan spesies durian untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan ekonomi.

“Di sinilah bermulanya idea untuk merealisasikan kerjasama universiti-industri di antara UMS dan Syarikat Yun Fook Resources untuk projek Kebun Penyelidikan Durian ini,” jelasnya.

Berkaitan dengan kerjasama pengeluaran Burung Walit, Prof Datuk Dr. D Kamarudin memaklumkan bahawa permintaan yang tinggi untuk sarang burung itu khususnya dari negara China menyebabkan penduduk Sabah mula beralih kepada industri tersebut, yang mana harga pasarannya adalah antara RM1,200 hingga RM4,300 sekilogram.

“Kita sangat berterima kasih kepada Syarikat Yun Fook Resources, kerana melalui kerjasama ini dua buah rumah burung walit telah dibina di FPL, iaitu sebuah rumah kos rendah RM20,000, dan sebuah lagi gudang walit tiga tingkat dengan kos binaan RM250,000.

Semua yang hadir pada majlis tersebut mengambil gambar kenangan bersama-sama. Gambar SNT/Ihsan UMS

“Kerjasama seperti ini memberikan faedah besar kepada pelajar kerana mereka tidak perlu pergi jauh untuk mempelajari industri yang sedang pesat berkembang, sekali gus boleh menceburi bidang ternakan ini sebagai sumber pendapatan tambahan apabila tamat pengajian kelak,” ujarnya.

Pada upacara menandatangani MoA itu, Prof Datuk Dr. D Kamarudin mewakil UMS, manakala Syarikat Yun Fook Resources diwakili Pengarahnya Prof Adjung Datuk Yap Yun Fook.

Majlis itu turut disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk KY Mustafa; Pengarah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan UMS, Prof. Madya Dr. Monica Suleiman; Dekan FPL Prof. Madya Dr. Saafie Salleh; Ahli-ahli Lembaga Pengarah serta Pegawai-pegawai Utama dan Kanan Universiti.-SabahNewsToday