Pilih Bahasa

Umur kelayakan Adun kekal 21 tahun, negeri-negeri diminta pinda peruntukan had umur calon

PUTRAJAYA, 26 Julai (Bernama) — Kelayakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Malaysia masih kekal pada 21 tahun meskipun Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan secaa bipartisan di Parlimen, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Ini kerana pindaan tersebut yang memberi hak kelayakan mengundi dan menjadi calon kepada warganegara berumur 18 tahun selain pendaftaran pengundi secara automatik, hanya melibatkan kelayakan calon Ahli Dewan Rakyat, katanya.

Datuk Liew Vui Keong. Gambar Bernama

Sehubungan itu, katanya kerajaan-kerajaan negeri disarankan untuk meminda peruntukan berkaitan had umur calon dalam perlembagaan negeri atau Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing agar selaras dengan undang-undang persekutuan dan usaha bipartisan untuk memperkasa golongan muda dalam proses demokrasi.

Pada 16 Julai lepas, 211 daripada 222 orang ahli Dewan Rakyat telah mengundi pindaan tersebut bersamaan dengan 95 peratus sokongan daripada jumlah keseluruhan.

Pada 25 Julai pula, 47 daripada 67 orang ahli Dewan Negara telah hadir untuk mengundi bersamaan dengan 70.14 peratus.

Untuk rekod, pindaan perlembagaan itu memerlukan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Kerajaan ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli Parlimen yang menyokong pindaan perlembagaan persekutuan tersebut,” kata Liew.

Liew bagaimanapun kesal apabila 20 orang ahli Dewan Negara gagal hadir dalam proses pindaan undang-undang itu.

— BERNAMA