Pilih Bahasa

Unduk Ngadau Kaamatan: Kajian budaya syarat baharu pertandingan

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) tahun ini akan menyaksikan beberapa perubahan dan penambahbaikan dari segi penganjurannya.

Pengerusi Jawatankuasa UNK Peringkat Negeri, Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata antara perubahan ketara adalah peserta setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) ke peringkat negeri perlu menyediakan kajian kebudayaan yang didokumenkan bagi kumpulan etnik masing-masing.

Jo-Anna (lapan kiri) merakamkan gambar kenangan bersama jawatankuasa penyelaras UNK seluruh negeri selepas mesyuarat berkenaan selesai. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Kajian ini dijalankan melalui usaha setiap peserta yang mara ke peringkat negeri dan boleh mendapatkan bantuan daripada anggota keluarga atau ahli jawatankuasa penganjur daerah.

“Kajian yang didokumentasikan akan dibentangkan kepada para juri semasa sesi pra-penilaian sebelum pertandingan akhir berlangsung.

“Peserta dikehendaki membuat kajian berfokuskan kepada pakaian tradisi yang akan diperagakan ketika pertandingan dan boleh menyentuh berkenaan aspek budaya etnik berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media UNK selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penyelaras UNK, di Dewan Serbaguna Jabatan Kerja Raya (JKR), hari ini.

Katanya usaha berkenaan juga antara sebab para peserta digalakkan memakai atau memperagakan pakaian tradisional kawasan Dun yang mereka wakili.

Tambahnya ia juga salah satu inisiatif untuk memelihara dan memulihara kekayaan budaya tradisi Kadazandusun Murut (KDM).

“Seperti yang kita ketahui, masih banyak lagi sejarah mahupun kebudayaan sesuatu etnik atau suku belum didokumentasikan.

“Itulah sebabnya, jawatankuasa mengambil inisiatif supaya dokumentasi boleh dilakukan dengan merujuk kepada sumber yang boleh dipercayai dan relevan.

“Dokumentasi yang bernilai ini juga akan menjadi salah satu kemudahan atau usaha untuk mengemaskini maklumat berkenaan kebudayaan di Sabah jika diperlukan,” katanya.

Tegasnya usaha berkenaan juga menggalakkan generasi muda terutamanya peserta UNK untuk meningkatkan pengetahuan berkenaan budaya mereka sendiri.

Selain itu, Jo-Anna berkata antara perubahan lain yang dibuat dalam pertandingan tersebut adalah had umur peserta.

“Jawatankuasa telah memutuskan untuk meningkatkan had umur penyertaan UNK tahun ini daripada 25 tahun kepada 27 tahun.

“Ini kerana, kami berpandangan ramai anak muda KDM berusia 25 tahun masih melanjutkan pengajian mereka dan tidak dapat menyertai pertandingan ini.

“Dengan mengambil kira semua ini, ia mampu memberi peluang lebih ramai gadis KDM menyertai pertandingan UNK,” jelasnya.

Menurutnya tiga pemenang utama UNK juga perlu terlibat dalam mana-mana projek yang telah ditetapkan oleh jawatankuasa pengajur sepanjang tahun memegang gelaran UNK.

“Pemenang ini akan dilibatkan dengan beberapa projek komuniti sama ada Kajian Impak daripada daerah masing-masing, pendidikan dalam kebudayaan, projek komuniti, menjadi duta pelancongan kepada daerah mereka dan khidmat masyarakat.

“Mereka boleh pilih antara lima aspek ini, dan tujuannya adalah untuk mendidik serta menggalakkan golongan muda untuk menyumbang sesuatu yang mempunyai impak kepada komuniti di daerah masing-masing.

“Ia juga menjadikan UNK ini sebagai satu medium untuk mengetengahkan fungsi kaum wanita daripada pelbagai aspek yang berkaitan dengan pembangunan komuniti,” jelasnya. -SabahNewsToday