Pilih Bahasa

Unit penyelamat hidupan liar JHLS terima tiga pacuan empat roda

Oleh Alfred Petrus

Dari kiri: Christina, Sue dan Augustine bergambar bersama kenderaan pacuan empat roda daripada Orangutan Appeal UK. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU), Jabatan Hidupan Liar Sabah menerima tiga buah pacuan empat roda baharu daripada pertubuhan Orangutan Appeal UK hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kenderaan tersebut untuk kegunaan WRU bagi operasi penyelamatan haiwan terutama hidupan liar di seluruh negeri.

Katanya aset tersebut adalah sebahagian daripada usaha yang dijalankan oleh Orangutan Appeal UK berjumlah RM1 juta kepada WRU untuk jangka masa lima tahun.

Sue (kanan) menyerahkan replika kunci kenderaan tersebut kepada Augustine sambil disaksikan oleh Christina (dua kanan). – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Mohd Shafie juga mengucapkan terima kasih kepada badan yang berusaha mencari dana melebihi RM12 juta sejak 18 tahun dahulu bagi membantu pemuliharaan hidupan liar terutamaya Orangutan di Sabah.

“Sumbangan lalu juga termasuk penambahbaikan Pusat Pemuliharaan Orangutan Sepilok termasuk empat kenderaan seumpama kepada jabatan dan banyak lagi.

“Saya berbesar hari dan gembira bagi usaha anda menyokong sepenuhnya usaha Sabah dalam pengurusan pemuliharaan hidupan liar yang kini diancam kepupusan yang kritikal.

Christina Liew. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Walaupun baru-baru ini, kita kehilangan salah satu daripada dua ekor badak terakhir negeri, saya mahu memastikan kita melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah atau menghindari kepupusan hidupan liar lain seperti gajah Borneo, tenggiling, Orang utan, tambadau dan banyak lagi,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew pada Majlis Penyerahan tiga buah kenderaan pacan empat roda kepada Jabatan Jidupan Liar Sabah di Shangri-La’s Tanjung Aru Resort dan Spa (Star) di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu Pengarah Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga dan pembantu Dr Sen Nathan serta pengasas pertubuhan Orangutan Appeal UK Sue Sheward.

Tiga buah pacuan empat roda yang diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Mohd Shafie menambah WRU memain peranan penting dalam banyak penyelamatan hidupan liar dan operasi di seluruh negeri sejak ia ditubuhkan sembilan tahun lalu.

Jelasnya unit berkenaan menjadi badan yang penting dalam Jabatan Hidupan Liar bagi membantu dan menguruskan pemuliharaan hidupan liar di seluruh negeri yang dibiayai oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC). -SabahNewsToday