Pilih Bahasa

Universiti medan perkasa semangat integrasi nasional dalam kalangan mahasiswa

Mohd Shafie Apdal – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

KOTA KINABALU, 5 Sept  — Universiti adalah medan untuk para mahasiswa memperkasakan lagi semangat integrasi nasional selain memahami konteks bermasyarakat ke arah mencapai perpaduan dan penyatuan erat antara rakyat pelbagai kaum, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata elemen keharmonian dan berintegrasi itu adalah penting diterapkan dalam diri setiap pelajar bagi mengelakkan daripada wujudnya isu-isu sensitif seperti perkauman dan agama dalam persekitaran mereka.

Datuk Jaujan Sambakong bersama pihak pengurusan UMS dan pelajar baharu. Gambar SNT/Ihsan KKTP

“Semangat cintakan negara dan negeri hendaklah sentiasa dipupuk merentasi kaum dan agama agar keharmonian dan kedamaian dinikmati kini dikekalkan sekali gus memperlihatkan persefahaman serta perpaduan kepelbagaian rakyat Malaysia.

“Walau apa pun isu yang timbul, kita akan tetap bersatu padu dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara dicapai dengan aman dan muhibah,” katanya ketika berucap pada Majlis Ikrar dan Aku Janji Pelajar Baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2019/2020 di sini, hari ini.

Jaujan menerima cendera kenangan daripada Prof Taufiq. Gambar SNT/Ihsan KKTP

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong.

Mohd Shafie mahu kesemua pelajar baharu UMS memanfaatkan sepenuhnya peluang melanjutkan pelajaran ke universiti itu selain memastikan mereka mengupayakan diri dengan menerapkan nilai modal insan berkualiti supaya mampu menggalas peranan mendepani pelbagai cabaran pada masa hadapan.

Katanya pendidikan adalah aspek paling ampuh dalam usaha melahirkan masyarakat berintelektual, berkemahiran, berinovasi dan produktif yang menjadi tunjang signifikan memastikan aspirasi Sabah menjadi sebuah negeri perindustrian berjaya direalisasikan.

Sementara itu, Naib Canselor UMS Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata seramai 4,362 pelajar ditawarkan melanjutkan pengajian di UMS, dan daripada jumlah itu, seramai 2,570 pelajar adalah anak Sabah, 1,690 dari Sarawak dan Semenanjung, manakala 102 lagi pelajar antarabangsa dari 14 negara.

UMS akan sentiasa berusaha memastikan para pelajarnya menikmati setiap detik pembelajaran di universiti itu selain mempersiapkan diri selaras dengan keperluan industri masa kini bagi menjana graduan lebih berkualiti sekali gus menjadi universiti yang mempunyai kebolehpasaran graduan yang tinggi, katanya.

— BERNAMA