Pilih Bahasa

[Update] Angin kuat, tiada jalan masuk jentera sukar padam kebakaran

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Tiupan angin yang kuat dan kedudukan rumah terlalu rapat, selain tiada jalan masuk jentera bomba ke kawasan kampung menyukarkan anggota bomba memadam api dalam kebakaran di Kampung Tanjung Batu Darat, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.40 malam itu, sebanyak 65 buah rumah musnah terbakar sepenuhnya namun tiada mangsa dilaporkan.

Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan api. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Ketua Bomba dan Penyelamat Tawau, Sharudy Delamin berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 7.54 malam sebelum mengerahkan empat jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah lori tangki dan empat utiliti dengan kekuatan seramai 53 anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya juga mendapat bantuan sebuah jentera FRT dari balai Bomba Kunak untuk membantu memadam kebakatan berkenaan.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi kebakaran kemudian membuat kerja-kerja pemadaman daripada pilih bomba dan sumber air terbuka sungai.

Salah sebuah rumah yang terbakar. Gambar SNT/Ihsan Bomba

“Alhamdulillah pada 12.48 tengah malam api berjaya dikawal daripada terus merebak. Anggaran awal kita mungkin jumlah kebakaran membabitkan lebih daripada 60 buah rumah,” katanya ketika ditemui media di lokasi kebakaran.

Menurutnya, pihaknya mendapat kesukaran memadam kebakaran disebabkan angin kuat, selain kedudukan rumah terlalu rapat dan tiada jalan masuk jentera bomba ke kawasan kampung berkenaan.

“Selain itu, anggota bomba juga mendapati, antara punca api tidak dapat dikawal, kebanyakkan rumah dipasang dengan tembok dan pagar menggunakan tayar.

“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Operasi memadam kebakaran turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela Merotai, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela, Jabatan Air dan Saliran (JAS) Tawau.-SabahNewsToday