Pilih Bahasa

[Update] Berang dituduh peragut, empat remaja warga asing bunuh lelaki

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Tidak berpuas hati dituduh mencuri dan meragut menjadi motif empat remaja lelaki warganegara Filipina membunuh susulan penemuan mayat lelaki di dalam longkang di belakang bangunan sebuah premis, di Jalan Bantu, Fajar, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata keempat-empat suspek berusia 16 hingga 17 tahun berjaya ditahan sepasukan polis pada pukul 3 petang tadi di tiga lokasi berasingan, dekat sini.

Empat remaja Filipina yang ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki di Tawau. Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

“Kes pembunuhan adalah bermotifkan dendam selepas keempat-empat suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa yang menuduh suspek menjalankan kegiatan mencuri dan meragut.

“Kenderaan jenis Proton Wira milik mangsa dikenali Jaafar Jalman, 49, yang dibawa lari suspek turut ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata keempat-empat suspek ditahan dan disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat mangsa kira-kira pukul 5.56 petang.

Katanya bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.

Pemeriksaan awal mendapati mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan lengkap berpakaian.

Siasatan pada fizikal mangsa, terdapat dua kesan luka tikaman di bahagian dada sebelah kanan dan bahagian tengkuk sebelah kiri.

Polis turut menemukan satu pemutar skru dan pisau berhampiran lokasi mayat mangsa ditemui.

Terdahulu dilaporkan, mangsa keluar rumah seorang diri pada 12.45 pagi kelmarin sebelum mayatnya ditemui tertiarap di dalam longkang di Jalan Bantu, Fajar petang kelmarin. – SabahNewsToday