Pilih Bahasa

Update helikopter terhempas: Mangsa yang parah diterbangkan untuk rawatan lanjut

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Anggota polis dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sabah, Sarjan Wedrick Sindih, 34, yang terlibat nahas helikopter di kem Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, semalam tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, malam tadi.

Wedrick, yang bertugas sebagai Pemerhati Udara (Air Observer) diterbangkan dari Tawau dengan pesawat jenis Britten-Norman BN-2B-20 Islander milik Layang-Layang Aerospace.

Pegawai perubatan mengusung Pemerhati Udara PGU Sabah, Sarjan Wedrick Sindih yang tiba dari Tawau bagi mendapatkan rawatan susulan selepas terbabit dengan nahas helikopter sebaik tiba di hangar Layang-Layang Aerospace, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, malam tadi. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Pesawat yang membawa mangsa itu berlepas dari Lapangan Terbang Tawau pada jam 6 petang dan selamat mendarat di sini dua jam kemudian.

Pesawat dikendali oleh Kapten Richard Ong Soon Lee dan Kapten Dorai Raja Sandiramogan selaku pembantu juruterbang.

Turut bersama dalam pesawat ialah dua pegawai perubatan.

Komander PGU Sabah Asisten Komisioner Ahmad Lokman Abdul Hadi ketika dihubungi SabahNewsToday berkata mangsa yang parah itu akan dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth 1.

Ahli keluarga, pegawai dan anggota polis turut bersama menyambut ketibaan mangsa nahas helikopter, Sarjan Wedrick Sindih, di hangar Layang-Layang Aerospace, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, malam tadi. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Mangsa disahkan mengalami patah tulang leher C5, C6, dan C7 akibat nahas itu.

“Sarjan Wedrick seterusnya akan menjalani imbasan MRI bagi menentukan jenis rawatan yang diperlukan oleh doktor pakar dengan kadar segera,” katanya.

Suasana bercampur baur dapat dirasa di hangar Layang-Layang Aerospace ketika pesawat yang membawa Wedrick berhenti sepenuhnya.

Tinjauan juga mendapati 20 individu dipercayai ahli keluarga mangsa termasuk pegawai dan anggota polis hadir bersama.

Mangsa seterusnya dikejarkan ke hospital dengan menggunakan ambulans.

Difahamkan, penerbangan medevac itu memakan masa selama dua jam tiga puluh minit disebabkan krew pesawat terpaksa terbang melalui atas pinggir laut Lahad Datu, Sandakan dan ke Kota Kinabalu.

“Pesawat BN2 ini bukanlah pesawat yang dilengkapi dengan sistem bertekanan udara didalam kabin.

“Maka, pesawat tidak boleh terbang melebihi paras 10,000 kaki diatas muka bumi disebabkan faktor tekanan udara dalam kabin. Pesawat ini juga terbang di bawah Peraturan Penerbangan Visual (Visual Flight Rules-VFR).

“Selain dari itu, penerbangan malam juga bahaya disebabkan beberapa puncak di Banjaran Crocker yang tinggi sekiranya penerbangan terus dari Tawau dilakukan,” menurut seorang kakitangan penerbangan yang enggan namanya disiarkan. -SabahNewsToday