Pilih Bahasa

Update kes tembak di Pulau Gaya: “Doa saya dimakbulkan”

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: “Ketika solat maghrib, saya berdoa supaya diri dan keluarga sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah. Syukur doa saya didengar oleh Allah SWT.

“Anak lelaki saya mengalami luka-luka kecil di badan dan kaki daripada tembakan itu,” kata ibu kepada seorang remaja lelaki, 20-an, yang berada disamping mangsa yang terkena tembakan di lutut dalam kejadian tembakan di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, di sini, Rabu lalu.

Anak wanita tersebut hanya mengalami luka kecil. Gambar SNT/Sumber SNT

Mencerita kejadian tembakan itu, wanita yang enggan dikenali berusia 46 tahun itu berkata ketika kejadian, dia baru selesai solat Maghrib dan terkejut apabila terdengar beberapa letupan sebelum anak lelaki meluru masuk ke dalam rumah lalu mengunci pintu.

“Saya ingat kabel elektrik yang meletup namun anak saya memaklumkan ada lelaki melepaskan tembakan. Lalu anak perempuan saya mengarahkan kami supaya tidak keluar.

“Ketika itu, saya bersama anak-anak bersembunyi dalam bilik. Masa itu, dia (anak) memberitahu rakan lelakinya cedera teruk akibat terkena tembakan itu.

“Selang beberapa minit sepasukan polis lengkap bersenjata api tiba di lokasi kejadian yang terletak selang enam buah rumah dari rumah saya,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, anak lelakinya kemudian menceritakan kejadian itu yang mana seorang lelaki melepaskan beberapa das tembakan ke atas jambatan tempat anak bersama rakannnya duduk.

“Ketika itu, dia bersama beberapa rakannya berada di atas jambatan dan tiba-tiba seorang lelaki yang menaiki perahu melepaskan tembakan ke arah mereka.

“Anak saya terus berlari masuk ke dalam rumah dan memberitahu rakannya terkena tembakan. Anak saya juga memaklumkan terasa sakit di bahagian badan dan paha seperti terkena serpihan peluru.

“Saya kemudian memeriksa dan hanya luka-luka kecil pada badan dan paha,” katanya.

Tambahnya lagi, esoknya dia membawa anaknya membuat laporan polis sebelum pergi ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan.

“Anak saya tidak mengenali lelaki itu. Anak jarang bergaul dan tidak mempunyai musuh… kami tidak tahu punca lelaki itu melepaskan tembakan.

“Kejadian itu amat mengejutkan kami sekeluarga dan penduduk Kampung Lok Urai,” katanya.

Dalam kejadian jam 7 malam pada Rabu tiga lelaki termasuk dua kanak-kanak cedera ditembak di jambatan Kampung Lok Urai, Pulau Gaya.

Dua mangsa berusia 36 dan 10 tahun parah manakala seorang lagi kanak-kanak berusia tiga tahun cedera ringan.

Polis sedang memburu suspek.- SabahNewsToday