Pilih Bahasa

[Update] Lelaki yang hilang selepas bot dinaikinya karam dipercayai ditemui lemas

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA BELUD: Seorang lelaki yang hilang selepas bot dinaiki bersama bapanya ketika menangkap ikan di pantai Batu Gadung Tamau, di sini, dipercayai ditemui lemas, petang tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah, Kepten Maritim Asmawati Mohd Tujeri berkata, mangsa ditemui oleh penduduk kampung yang membantu melakukan pencarian di pesisir pantai Nanamun Rampaian Laut kira-kira lapan kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Belud untuk pengecaman oleh ahli keluarga mangsa terbabit.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan jam 8.30 malam,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Pada jam 6 pagi tadi, bot kecil yang dinaiki mangsa Mohd Shahril Bashir, 28, bersama bapanya Bashir Datu Ayob, 58, karam akibat dipukul ombak kuat ketika menangkap ikan kira-kira 100 meter dari pantai Batu Gadung Tamau.

Bashir selamat manakala mangsa hilang sebelum operasi SAR diaktifkan oleh Maritim Malaysia dengan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, jam 8.35 pagi. -SabahNewsToday