Pilih Bahasa

UPDATE: MURID DIREMPUH PEMANDU MABUK, SEORANG LAGI MANGSA MENINGGAL

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Salah seorang mangsa yang cedera parah akibat dirempuh kenderaan yang dipandu lelaki dipercayai mabuk di Jalan Tempasuk Dua, Kota Belud awal pagi Isnin, meninggal dunia petang tadi.

Maxryona Masdi, 6, iaitu adik kepada Max Christty Masdi, 10, yang maut di tempat kejadian, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan teruk di hospital pada pukul 7 malam.

Kenderaan yang dipandu oleh bapa saudara dua beradik yang maut berhenti selepas melanggar dinding rumah penduduk kampung pagi Isnin. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata mangsa disahkan meninggal dunia selepas beberapa jam dalam keadaan kritikal di hospital.

Sementara itu, mangsa ketiga, Michelle Marianne David, 14, masih dalam keadaan kritikal akibat cedera parah di bahagian kepala.

Ketika dihubungi, Mohd Zaidi berkata pihaknya memperoleh maklumat bahawa pemandu Nissan Sentra berumur 54 tahun itu adalah bapa saudara kepada dua beradik yang maut.

Beliau merempuh ketiga-tiga mangsa ketika dalam perjalanan ke rumahnya di Kg Tempasuk Dua dalam keadaan mabuk.

Ketiga-tiga mangsa terbabit dirempuh semasa mereka sedang menunggu bas carter di tepi jalan untuk ke sekolah pada jam 6.40 pagi.

Lalu, kenderaan tersebut dipercayai terbabas dan terlanggar tepi bahagian konkrit sebuah rumah milik orang kampung.

Pemandu tersebut ditangkap untuk siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1952. -SabahNewsToday