Pilih Bahasa

[Update] Polis jalan siasatan insiden kematian seorang komando

Oleh Junaidi Ladjana

PUTATAN: Polis masih menyiasat berhubung insiden kematian pegawai tentera, Mejar Mohd Zahir Armaya ketika melakukan aksi demonstrasi sempena Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.

Mohd Haris Ibrahim. Gambar Fail SNT

“Polis menerima laporan jam 10.05 pagi dan sedang menyiasat seorang anggota tentera bagi membantu siasatan.

“Siasatan mendapati pegawai tentera berpangkat Mejar meninggal dunia akibat tertembak ketika Majlis Perbarisan Penubuhan Divisyen Ke-5 Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, pakcik kepada arwah, Ansari Abdullah, berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian oleh ibu mangsa yang juga adik sepupunya.

“Sejurus menerima panggilan pagi tadi, saya bersama ahli keluarga lain dari Tuaran, bergegas ke hospital,” katanya sambil menambah ibu arwah adalah orang Tuaran.

Sementara itu, suasana di perkarangan Unit Forensik QEH hiba sejurus ibu mangsa tiba di perkarangan QEH kira-kira jam 1 tengah hari tadi, dan difahamkan ketika ini proses bedah siasat masih dijalankan.

Difahamkan, jenazah allahyarham akan disembahyangkan di Masjid As-Salam, Kem Lok Kawi, Putatan, petang ini. -SabahNewsToday