Pilih Bahasa

Upko akan dijenama semula demi perjuangan kekal relevan

Oleh Alfred Petrus

PENAMPANG: Parti Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (Upko) bercadang untuk membuat penjenamaan semula parti berkenaan bagi memastikan perjuangan terus relevan.

Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata cadangan berkenaan akan dibincangkan dalam satu Mesyuarat Agung Luar Biasa yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Madius bersama Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan pemimpin tertinggi Upko memotong kek ulangtahun parti Upko semalam. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Selepas pemilihan parti Upko pada Oktober lepas dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan, kita meluluskan satu usul untuk menjenamakan semula parti ini.

“Kita lihat ini sebagai suatu yang perlu untuk memastikan bukan hanya relevan pada masa kini tetapi perjuangan kita lebih berkesan dan tertumpu kepada hal-hal kemasyarakatan yang melibatkan rakyat.

“Bukan bererti kita tidak ada hala tuju, tetapi ia satu penyesuaian dalam suasan politik masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Majlis Ulang Tahun Parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Ke-25, di Pusat Kebudayaan Penampang, pada Khamis malam.

Madius menjelaskan bahawa Upko mahu kepimpinannnya lebih efektif, berkesan dan menjadi platform kepada rakyat untuk bersuara tidak kira agama dan bangsa.

Katanya apa yang penting bagi Upko adalah kesinambungan perjuangannya bersama kerajaan yang boleh menentukan hala tuju pembangunan negeri.

“Sebab itu, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, sekali lagi kita mengambil langkah dan keputusan yang berat untuk membentuk kerajaan baharu pada ketika itu,” jelasnya. -SabahNewsToday