Pilih Bahasa

Upko anjur forum terbuka tentang PSS

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau akan membentangkan resolusi Upko mengenai Pas Sementara Sabah dalam masa terdekat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua tujuh pembahas mengenai usul itu tadi. Semua itu akan kita susun dan gabungkan dengan dapatan daripada satu lagi perbincangan meja bulat sebelum kita sampaikan kepada Kerajaan,” kata beliau.

Madius bersama kepimpinan Upko selepas EGM tersebut. Gambar SNT/Ihsan Upko

Rata-rata, kesemua pembahas melafazkan rasa tidak puas hati dengan cara Kementerian Dalam Negeri membuat keputusan untuk mengeluarkan PSS bagi pemegang IMM13, kad burung-burung dan sijil bancian untuk tempoh laku tiga tahun bermula Jun tahun hadapan.

“Justeru, saya juga bersetuju dengan persidangan, yakni sebelum mengambil sebarang tindakan, kerajan perlu menjawab kesemua persoalan kritikal yang timbul di atas dengan telus, meyakinkan serta tanpa was-was dan berdasarkan kepada lunas-lunas undang-undang di Malaysia,” tambah beliau.

Madius, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), berkata demikian dalam ucapan penangguhan di Dewan Masyarakat di sini sempena Persidangan Perwakilan Luar Biasa Upko 2019 petang kelmarin.

Upko sudah mengadakan perbincangan meja bulat tertutup pada awal bulan ini, dan akan membentangkan dapatan program itu dalam satu lagi perbincangan serupa tetapi terbuka kepada umum dalam masa terdekat.

“Kita akan menjemput semua pihak-pihak berkepentingan, para Wakil Rakyat termasuk daripada barisan pembangkang untuk sama-sama mencamba minda agar kita boleh mencapai penyelesaian terbaik untuk dicadangkan kepada Kerajaan,” ujar beliau.-SabahNewsToday