Pilih Bahasa

Upko konsisten, terus pertahan mandat rakyat

Madius (tengah) bersama ahli MT Upko selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi di Ibu Pejabat Upko. – Gambar SNT/Ihsan Upko

PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) menegaskan pendirian untuk terus konsisten mempertahankan mandat rakyat yang terserlah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Presiden Upko, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata parti itu akan terus mempertahankan mandat itu walaupun tampuk kepimpinan negara pada masa ini sudah bertukar tangan.

“Ini adalah pendirian Upko sejak 10 Mei 2018, yang mana pada ketika itu ahli Majlis Tertinggi (MT) Upko telah memutuskan untuk menyelamatkan mandat rakyat yang jelas mahukan perubahan dalam pentadbiran kerajaan.

“Pendirian Upko ini juga tidak berubah dan kita konsisten mempertahankan mandat rakyat walaupun baru-baru ini berlaku peralihan kuasa di negara ini sehingga menyebabkan parti-parti yang menjadi parti memerintah selepas PRU14 kini menjadi pembangkang,” katanya.

Madius berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi di Ibu Pejabat UPKO di sini, hari ini.

Menurut beliau keputusan PRU14 juga sebenarnya jelas menunjukkan rakyat mahukan perubahan dalam kepimpinan di peringkat negeri Sabah apabila Barisan Nasional (BN) tidak mendapat undi majoriti dengan hanya memenangi 29 kerusi Dewan Undangan Negeri, iaitu UMNO 17 kerusi, PBS (6), Upko (5), PBRS (1).

Beberapa parti pembangkang pula, andai  digabungkan mencatatkan kemenangan dengan meraih 31 kerusi iaitu Warisan (21), Dap (6,) PKR (2) dan Star (2).

“Namun tindakan parti Star yang bertanding sebagai pembangkang tetapi kemudiannya melompat ke kem BN menyebabkan mandat rakyat yang sudah diberikan kepada pembangkang mengalami defisit dua kerusi. 

“Pada masa itu MT Upko bermesyuarat dan membuat analisis; dan sebulat suara mengambil keputusan untuk selamatkan mandat rakyat dengan menyertai pembangkang, sekaligus memungkinkan kerajaan campuran dibentuk oleh Upko, Parti Warisan Sabah dan Pakatan Harapan,” tambah beliau.

Madius (tengah) dan beberapa pemimpin kanan Upko menunjukan bendera baharu parti itu. – Gambar SNT/Ihsan Upko

Mengulas perkembangan terkini,  beliau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah berkata mandat rakyat yang telah dicabuli pada 29 Februari 2020 juga tidak akan menggugat pendirian Upko.

“Kita di Upko bersama Warisan, PKR dan  Dap menghormati kehendak rakyat pada PRU14 yang mahukan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Dalam perkara ini pendirian Upko hanyalah satu, iaitu terus konsisten memperjuangkan mandat rakyat,” tegas Madius. 

Majlis Tertinggi Upko juga menyatakan sokongan terhadap kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa kerajaan Sabah akan terus berkerjasama dengan Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Dalam perkembangan lain, Madius mengumumkan Pendaftar Pertubuhan sudah meluluskan resolusi Upko untuk beberapa perkara termasuk mengubah nama dan bendera parti. 

Antara yang hadir dalam mesyuarat tadi ialah Timbalan Presiden Senator Datuk Donald Mojuntin dan empat wakil rakyat, Datuk Ewon Benedick, Datuk Abidin Madingkir, Datuk Limus Juri dan Datuk James Ratib. – SabahNewsToday