Pilih Bahasa

Upko tambah keahlian baharu

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Madius (dua dari kiri) menerima borang keahlian beramai-ramai daripada penduduk Kimanis. – Gambar SNT/Ihsan Upko

KIMANIS: Seramai 77 individu termasuk para belia menyerahkan permohonan menjadi ahli Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) di sini petang tadi.

Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang menerima permohonan tersebut menjelaskan pihaknya terharu dengan sokongan berterusan daripada masyarakat akar umbi terhadap parti itu.

“Sememangnya ada ahli Upko yang meninggalkan parti, namun kami mendapat ramai keahlian baharu menyertai parti. Hari ini hampir 30 orang daripada 77 yang memohon berumur 30 tahun ke bawah.

“Ramai juga ahli parti lain yang telah menyerahkan borang untuk menyertai Upko. Terima kasih di atas sokongan dan semangat perjuangan sebegini,” tambah beliau.

Madius (dua dari kiri) menerima borang keahlian termasuk daripada Priscilla (tengah) dan Bernstein (dua dari kanan). – Gambar SNT/Ihsan SNT

Salah seorang yang menyerahkan borang ialah bekas ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) Priscilla Primus, 29,  dari Kampung Baru Kelatuan.

“Saya membuat keputusan meninggalkan parti saya yang dulu kerana saya mahu bersama dengan parti kerajaan. Saya juga melihat kepimpinan UPKO sangat  komited dalam perjuangan demi esok yang lebih baik bagi Sabah,” katanya.

Bagi Bernstein Backer Alphonsus, 21, daripada Kampung Langsat, beliau berbesar hati menyertai Upko kerana urus tadbir parti yang sudah terbukti dapat membimbing generasi muda menjadi pemimpin.

Dalam perjumpaan santai yang dihadiri oleh lebih 70 orang, Madius sempat mendengar pelbagai isi hati warga emas dan beberapa individu yang bertemu beliau.

Madius sedang dalam rangka pertemuan santai ke beberapa buah kampung sebelum menghadiri penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Kimanis esok di Beaufort. – SabahNewsToday