Pilih Bahasa

UPMM digesa jalankan program dekati rakyat

Oleh Alfred Petrus

Abdullah Minun (dua kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman sambil disaksikan oleh Christina (dua kiri). Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) seluruh negeri digesa mencontohi UPMM N.15 Api-Api dalam menjalankan tugas sebanyak mungkin.

Pengarah UPPM, Abdullah Minun Sahirun berkata semua UPPM seluruh negeri perlu melaksanakan pelbagai program yang mampu mendekati rakyat setempat selari dengan objektif penubuhan unit itu.

“UPPM ditubuhkan adalah untuk mendekati rakyat dan menjalankan kerja-kerja yang boleh membantu meringankan beban mereka.

“Ia adalah penting bagi UPPM untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan bekerjasama dengan agensi sedia ada untuk membantu rakyat di negeri ini.

“Saya menggesa semua rakan-rakan (UPPM) di Sabah untuk mencontohi apa yang telah dilakukan oleh UPPM Api-Api dalam mendekati rakyat untuk memastikan kehadiran unit itu dirasakan dan mereka dapat menjalankan tugas mereka dengan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Hari Bersama Rakyat Kawasan Api-APi di Pejabatn UPMM N.15 Api-Api, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew yakin dan percaya sokongan serta penglibatan masyarakat setempat Api-Api akan berterusan di masa akan datang terhadap program-program yang akan disusun oleh UPPM Api-Api.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Api-Api berkata tujuan UPPM mengadakan program Hari Bersama Rakyat berkenaan adalah semata-mata untuk memudahkan rakyat mendapat khidmat dari agensi kerajaan yang dapat menyumbang khidmat dan tenaga pada hari tersebut.

“Disamping itu, program ini juga diadakan supaya rakyat mendapat gambaran kedudukan pejabat ini bagi memudahkan rakyat berhubung dengan pejabat UPPM Api-Api

“Saya berharap semua masyarakat kawasan Api-Api yang hadir pada hari ini bolehlah menghubungi jabatan-jabatan yang berkenaan di tempat yang disediakan dan kepada pelajar-pelajar kolej serta murid-murid yang hadir, agar mendapat faedah daripada program yang telah disediakan,” jelasnya. -SabahNewsToday