Pilih Bahasa

Usah berbangga dengan budaya lompat parti – Pemuda PBS

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) perlu meminta mantan Adun PBS Datuk Anita Baranting (Tandek) dan Abdul Rahman Kongkawang (Labuk) mengosongkan kerusi untuk bertanding semula di bawah tiket Warisan.

Ketua Pemuda PBS Christopher Mandut berkata Setiausaha Agung Warisan Loretto S Padua tidak boleh bermegah tetapi sebaliknya menerima kenyataan bahawa Warisan adalah rumah ‘katak politik’.

Christopher Mandut. Gambar Fail SNT

“Kerajaan gabungan yang dipimpin oleh Warisan ini wujud kerana kerusi yang disumbangkan oleh ‘katak’, jadi berhenti bercakap besar dan hadapi realiti bahawa Parti anda berkuasa kerana disebabkan budaya lompat parti,” katanya.

Membidas kenyataan Loretto, Mandut berkata sejak pilihan raya umum lepas, Warisan telah mengundang seorang ahli dewan undangan dari Upko, tujuh Umno dan dua Adun PBS untuk menyeberang ke parti pemerintah, manakala empat Adun UPKO membantu membentuk kerajaan campuran.

“Kenapa menyalahkan Presiden PBS kerana kehilangan wakil rakyat kita, sedangkan merekalah tidak jujur ​​dan mengkhianati pengundi mereka.

“Daripada bercakap besar, Warisan sebaliknya perlu meminta kedua-dua Datuk Anita Baranting dan Abdul Rahman Kongkawan untuk mengosongkan kerusi mereka yang menang atas tiket PBS dan Barisan Nasional dan bertanding semula di bawah bendera Warisan.

“Kita lihat jikalau rakyat menyokong keputusan mereka,” katanya.

Loretto baru-baru ini mendakwa Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili perlu dipersalahkan kerana gagal meyakinkan ahli-ahlinya dan wakil rakyat mengenai kepentingan politik parti itu.

Mandut menegaskan bahawa di Malaysia, pemimpin terpilih tidak akan sesuka hatinya meninggalkan parti yang menjadikan mereka “Yang Berhormat” dan menyertai parti pemerintah melainkan tergoda oleh janji-janji yang diberikan kepada mereka.

“Dalam kes Adun Labuk (Abdul Rahman Kongkawang), beliau terus ‘dipancing’ dan diganggu selama lima bulan yang lalu seperti yang dikatakan oleh Presiden Warisan,” katanya.

Mandut, sebaliknya, bertanya kepada Loretto jika beliau boleh menafikan bahawa kerajaan Warisan  terbentuk disebabkan oleh budaya ‘lompat parti’

“Jadi lebih baik anda cermin diri sendiri. Anda berkuasa kerana politik yang kotor.

“Sebagai seorang peguam, anda harus tahu makna integriti dan kejujuran. Beritahu kepada bekas wakil rakyat kami untuk melakukan perkara yang betul iaitu dengan mengosongkan kerusi mereka dan bertanding semula,” katanya.-SabahNewsToday