Pilih Bahasa

USAH LAGI PERSOAL KEPUTUSAN MAHKAMAH – Shafie

Oleh Alfred Petrus

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kelihatan sebak sebaik keluar dari lobi Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu selepas mahkamah memutuskan pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri Sabah adalah sah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mencabar kesahihan perlantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah baharu tidak harus dipersoalkan lagi.

Mohd Shafie berkata apa yang menjadi keutamaan kerajaan pada masa kini adalah memajukan Sabah.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melambai kearah penyokong di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu selepas mahkamah memutuskan pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri Sabah adalah sah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kita harus pastikan supaya rakyat kita bersatu kerana sudah sampai waktunya kita membangunkan Sabah.

“Jangan ada pihak lain yang ingin membantutkan dan melambatkan usaha kita untuk membela rakyat Sabah.

“Saya berharap keputusan mahkamah hari ini akan boleh diterima oleh semua pihak,” katanya apabila ditemui di luar bilik Mahkamah Tinggi di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini.

Sebahagian penyokong Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu. Gambar SNT/Zakaria Damit

Mohd Shafie turut menzahirkan kemaafan kepada rakyat Sabah kerana tugas kerajaan negeri menjadi perlahan sejak kebelakangan ini.

Katanya ia disebabkan proses tuntutan Musa yang mencabar kesahihan perlantikannya sebagai Ketua Menteri.

“Ini ketetapan yang telah dilakukan oleh pihak mahkamah dan proses undang-undang sudah berjalan agak lama.

“Jadi, sekarang ini, kita (kerajaan) semua mempunyai kerja yang lebih untuk dilakukan bagi pembangunan Sabah,” jelasnya. -SabahNewsToday