Pilih Bahasa

Usah mulakan kehidupan dengan calit hitam

SIPITANG: Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob mengingatkan generasi muda agar tidak mencalit titik hitam dalam kehidupan mereka.

Titik hitam itu katanya ialah perbuatan yang tidak bermoral seperti jenayah, gejala dadah, rasuah dan sebagainya.

Dr Yusof (tengah) dan Sablee (dua kiri) merakam kenangan bersama pelajar SMK Padang Berampah Sipitang majlis penutupan Kembara Kasih ARAD. Gambar SNT/Ihsan Abdul Bakar Esah

“Saya mahu para pelajar mempastikan bahawa tidak ada titik hitam di dalam perjalanan hidup kita. Sebagai manusia kita juga tidak terlepas daripada kesilapan dan kesalahan tetapi janganlah kita melakukan kesalahan yang besar seperti jenayah. Janganlah ada dalam rekod kita sebagai pembunuh, perasuah, pengedar dan penagih dadah serta sebagai pencuri,” katanya.

Dalam pada itu Yusof mahu semua lapisan masyarakat terutama golongan ibu bapa dan warga pendidik memberi penekanan yang utama dalam usaha membentuk peribadi murni dalam kalangan generasi muda.

“Saya mahu anak-anak ini mempunyai kehidupan masa depan yang lebih teratur. Ibu bapa dan guru-guru perlu memberi kefahaman kepada anak-anak bahawa kita mahu membina sebuah masyarakat yang harmoni. Kita mahu membina masyarakat yang sayangkan diri kita, negeri kita dan juga negara kita,”katanya.

Beliau berkata demikan ketika merasmikan majlis penutupan program Kembara Kasih Anti Rasuah dan Anti Dadah (ARAD) di Sekolah Menengah (SMK) Padang Berempah di sini baru-baru ini.

Sebahagian pelajar SMK Padang Berampah Sipitang pada majlis penutupan Kembara Kasih ARAD di SMK Padang Berampah Sipitang baru-baru ini. Gambar SNT/Ihsan Abdul Bakar Esah

Program itu dianjurkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kolaborasi bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah, Jabatan Pendidikan Sabah, Sabah Big Bikers Association (SBBA), Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah (SDO), Persatuan Mencegah Dadah (PEMADAM) Sabah dan Pejabat Pelajaran Daerah Sipitang.

Hadir sama Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Sabah, Hasbilah Mohd Salleh, Pengarah AADK Negeri Sabah, Bakri Bibi, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Ruslan Tuan Mat, Wakil Pengarah Pejabat SDO, Normah Hj Jaffar, Pegawai Daerah Sipitang, Matlin Dullah, Presiden SBBA, Hj Osman Ahmed, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sipitang Azri Ajak dan Pengetua SMK Padang Berampah Sipitang, Sablee Bagol.

Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.28 Sindumin menyokong usaha dan penglibatan pelbagai pihak yang turut serta menganjurkan program itu dan berharap ianya dapat diteruskan.

Sebahagian pelajar SMK Padang Berampah Sipitang pada majlis penutupan Kembara Kasih ARAD di SMK Padang Berampah Sipitang baru-baru ini. Gambar SNT/Ihsan Abdul Bakar Esah

“Saya berharap usaha ini tidak berhenti di sini selaras dengan kerjasama yang jitu daripada polis dan pasukan keselamatan yang lain. Pemimpin masyarakat juga perlu bekerjsama membasmi kegiatan penyalahgunaan dadah bagi melumpuhkan rangkaian pengedar dadah, rangkaian pembekal dan rangakaian pengilang dengan kawasan di daerah Sipitang ini.

“Dan kita minta juga dirumah-rumah, di kampung-kampung jangan lagi ada ejen-ejen,” katanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa tindakan tegas perlu diambil kepada mereka yang bersekongkol dengan pengedar dadah ini kerana akibatnya sangat parah.

“Saya telahpun merancang program yang lebih berkesan bagi menangani gejala ini.Tahniah kepada rela yang sudahpun memulakan rondaan dan kita amat mengalu-alukan badan sukarela yang lain seperti Skim Rondaan Sukarela (SRS),” katanya.-SabahNewsToday