Pilih Bahasa

USAH PERTIKAI PELANTIKAN KETUA DAERAH TAWAU – WARISAN TAWAU

TAWAU: Parti Warisan Sabah Bahagian Tawau sebulat suara mencadangkan Akhmad Bin Monggoh sebagai Ketua Daerah Tawau kerana memenuhi syarat untuk jawatan tersebut.

Akhmad berasal dari Semporna tetapi beliau telah berkhidmat selama lebih 35 tahun sebagai guru di Tawau dan bermastautin di daerah ini lebih daripada 45 tahun.

Frank Salazar. Gambar Fail SNT

“Yang penting beliau adalah orang jati Sabah,” kata Frank Salazar, Ketua Bahagian Tawau untuk Parti Warisan Sabah.

Beliau berkata perkara itu tidak harus dipertikaikan dan menimbulkan porak poranda kerana ia telah dipersetujui oleh pucuk pimpinan parti.

“Kita harus akur dan bersedia menerimanya dengan hati yang terbuka dan berfikiran positif. Akhmad berpendidikan tinggi, mempunyai pengalaman yang luas dan telah banyak memegang jawatan yang penting dalam kerajaan serta ada rekod kerja yang bersih.

“Ketua Daerah Tawau yang telah dilantik bukannya orang luar malah dianya adalah orang jati Sabah. Hanya lahir di Semporna dan membesar di Tawau malah berkahwin dengan orang tempatan Tawau,” tambah Frank.
 
Beliau berkata demikian bila menangkis kenyataan Ketua Umno Tawau, Ghazalie Ansing yang membantah perlantikan Akhmad Bin Monggoh sebagai Ketua Daerah Tawau.

Frank bertanya mengapa Umno Tawau tidak pernah mempertikaikan segolongan yang, memang diketahui ramai, lahir di negara seberang atau bukan dari daerah Tawau tetapi dilantik menjadi wakil rakyat.

“Tidak perlu kita memberitahu siapa mereka, malah kita boleh terima dan bekerjasama dengan calon yang telah dilantik.”

Datuk Jainab Ahmad dari Tawau dipilih oleh Umno untuk bertanding di kerusi Karambunai pada pilihan raya lalu. Begitu juga dengan Datuk Osman Jamal yang dari Kalabakan tetapi dipilih oleh Umno untuk bertanding di Balung.

“Apa sebenarnya motif Umno? Ia sebuah parti yang rata-rata ditolak rakyat. Kini ia hanya mampu membangkitkan isu remeh untuk mengapi-apikan sentimen rakyat.”

Malah dari zaman kerajaan dahulu lagi ada yang samada dari Tawau atau dari luar Kota Kinabalu telah dicalonkan untuk mewakili kawasan DUN di mana kawasan tersebut bukanlah tempat lahir calon itu sendiri tetapi tiada yang mempertikaikan asal usul mereka.

“Dan juga kita boleh lihat selama ini calon-calon yang memegang jawatan Presiden Majlis Perbandaran Tawau kesemuanya adalah dari luar daerah Tawau.

“Yang penting apa yang kita mahu mereka yang telah diamanahkan, masing-masing boleh membawa pembangunan di daerah Tawau dan meningkatkan ekonomi dan taraf hidup masyarakat Tawau.

“Demi kepentingan kita semua, marilah kita bekerjasama untuk membangunkan daerah Tawau khususnya, dan meningkatkan kesejahteraan serta keharmonian kehidupan kita semua di Sabah amnya,” katanya.-SabahNewsToday