Pilih Bahasa

Usah terlalu sibuk untuk luangkan masa bersama keluarga

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Jamawi (tengah) bersama ahli keluarga Aku Lisu dan Aru Antahai yang hadir ke majlis tersebut. – Gambar SNT / ehsan Jaafar Wahid

KEMABONG: Program hari keluarga mampu mengeratkan silaturahim selain memupuk semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Jamawi Jaafar  berkata, program seumpama itu turut memupuk semangat cintakan keamanan serta menggalakkan aktiviti sihat dikalangan ahli keluarga dan komuniti setempat.

“Kesibukan mengurus kehidupan masing-masing membataskan waktu bagi ahli keluarga dapat berkumpul bersama.

“Sehubungan itu, program hari keluarga ini akan memberi ruang dan peluang kepada ahli keluarga, rakan dan anggota masyarakat mengeratkan silaturahim serta ukhwah sesama kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Hari Keluarga Aki Lisub  dan Aru Antahai yang dihadiri kira-kira 500 anggota keluarga tersebut.

Menurut Jamawi yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, program seperti itu merupakan platform meningkatkan komunikasi antara ahli dalam sesebuah keluarga.

Katanya, usaha untuk menghimpunkan keluarga dalam acara hari keluarga seperti itu perlu diteruskan bagi mengekalkan silatulrahim dalam kalangan keluarga masing-masing.

Sehubungan itu, Jamawi mengajak rakyat agar terus bersatu padu menyokong usaha usaha yang dilakukan oleh kerajaan  agar kemakmuran negara terus dapat dikecapi. – SabahNewsToday