Pilih Bahasa

Usaha berterusan bantu golongan orang pekak Sabah peroleh pendidikan terbaik

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Pendedahan berterusan dalam kalangan guru pendidikan khas harus dilaksanakan berterusan dalam usaha memberikan ilmu pengetahuan terbaik kepada golongan orang pekak di negeri ini.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob berkata golongan pekak di negeri berkenaan dilihat memiliki kepentingan sama rata dalam kalangan masyarakat bagi membangunkan ekonomi setempat.

Jennifer (duduk enam dari kanan) bersama tetamu kenaan lain serta peserta kursus menunjukkan simbol bahasa isyarat ‘saya sayang kamu’ sempena Majlis Penutupan Kursus Profesionalisme Guru-Guru Pendidikan Khas (Pendengaran) Siri Satu 2019 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

“Hal ini menunjukkan mereka wajib mendapatkan pendidikan berkualiti agar mereka boleh memperoleh kehidupan terbaik bagi diri sendiri dan keluarga.

“Oleh itu, kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) sentiasa membuat inisiatif menyediakan latihan kepada semua pendidikan khas seluruh negeri agar dapat memberikan ilmu bermanfaat khususnya buat murid orang kurang upaya (OKU) pekak.

Jennifer (dua dari kanan) menerima cenderamata sempena Majlis Penutupan Kursus Profesionalisme Guru-Guru Pendidikan Khas (Pendengaran) Siri Satu 2019 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

“Selain mendidik, tanpa kita sedari latihan kepada guru pendidikan juga secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran mengenai hak asasi orang pekak di kalangan orang awam,” katanya ketika berucap sempena Majlis Penutupan Kursus Profesionalisme Guru-Guru Pendidikan Khas (Pendengaran) Siri Satu 2019, dekat sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Jennifer Lasimbang.

Jennifer (tiga dari kanan) penyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang guru yang menyertai kursus Kursus Profesionalisme Guru-Guru Pendidikan Khas (Pendengaran) Siri Satu 2019 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Dr Mistirine Radin.

Kira-kira 100 guru pendidikan (pendengaran) menghadiri kursus yang berlangsung selama tiga bermula 27 hingga 29 September itu.

Dianjurkan Persatuan Bagi Orang-Orang Pekak Sabah, kursus berkenaan adalah sempena Sambutan Minggu Orang Pekak Antarabangsa dan Bahasa Isyarat Antarabangsa 2019. -SabahNews Today