Pilih Bahasa

Usaha kerajaan pulihkan industri pelancongan perlu sokongan semua pihak: Motac

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Semua pihak perlu mengambil pendekatan positif dalam menyokong usaha kerajaan memulihkan dan merancakkan kembali industri pelancong negara yang terkesan ekoran penularan wabak COVID-19 (dahulu dikenali 2019-nCoV).

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata ketika ini satu jawatankuasa ditubuhkan di peringkat Persekutuan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi menentukan langkah-langkah yang sesuai diambil dalam menangani isu tersebut.

Dr Noor Zari (dua dari kiri) bersama tiga lagi panel pada sesi Town Hall Tourism Recovery. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Hakikatnya beliau menambah, wabak berkenaan telah memberi kesan bukan hanya kepada industri pelancongan tetapi juga keseluruhan ekonomi negara.

“Motac dan Kementerian Kesihatan Malaysia menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Pemulihan Pelancongan (Trac) untuk kita melihat secara khusus apakah langkah yang perlu diambil kerana sektor yang paling awal terjejas daripada penularan wabak ini adalah pelancongan.

“Kami di Motac turut terasa dengan kesannya apatahlagi tahun ini kita mensasarkan untuk menerima seramai 30 juta pelancongan dengan pendapatan RM100 bilion.

Sesi Townhall Tourism Recovery sedang berlangsung. Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

“Berdasarkan statistik daripada Januari hingga Februari tahun ini, jumlah kerugian yang kita anggarkan bagi seluruh negara adalah sekitar RM3 bilion. Ini menggambarkan tentang seriusnya kesan wabak ini terhadap sektor pelancongan negara,” katanya semasa sesi Town Hall Tourism Recovery di sini, hari ini.

Program tersebut turut disertai Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Musa Yusof; Pengerusi Pelancongan Malaysia, Datuk Ahmad Shah Hussien Tembakau dan Dr Sahrol Nizam Abu Bakar mewakili Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

Seramai 312 peserta terdiri daripada pemain industri pelancong di Sabah menyertai sesi Town Hall anjuran Pelancongan Malaysia.

Salah seorang peserta mengambil bahagian semasa sesi soal jawab pada sesi Town Hall Tourism Recovery di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Dalam pada itu katanya, pihaknya juga mengadakan perjumpaan dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk memohon agar kadar cukai pelancongan dikurangkan pada tahap minimum bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

“Kita juga meminta agar Bank Negara memaklumkan kepada bank-bank tempatan untuk membenarkan tempoh pembayaran ansuran pinjaman bas pesiaran dipanjangkan tempohnya kepada selama tiga hingga enam bulan serta kelonggaran bayaran bagi hotel-hotel yang membuat pinjaman.

“Hari ini kita difahamkan Maybank, RHB da Public Bank telah bersedia untuk membincangkan perkara ini dengan pihak pengusaha industri.

“Terdapat juga cadangan agar tarif elektrik bagi hotel ditukarkan daripada komersial kepada industri sehingga krisis ini berakhir selain memohon kadar caruman KWSP oleh majikan pekerja dikurangkan kerana kos operasi bagi pekerja merupakan kos yang besar dalam industri perhotelan,” ujarnya.

Sementara itu, Dr Sahrol Nizam berkata sebanyak 58 kes Koronavirus dikesan di Sabah setakat ini namun hasil pemeriksaan mendapati 57 kes adalah negatif manakala satu kes di Tawau masih belum ada keputusan mengenainya.

Bagaimanapun beliau menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengamalkan kebersihan seperti disarankan oleh Kementerian Kesihatan bagi mengelak dijangkiti wabak tersebut. – SabahNewsToday